Home > Artikel Berita Dari Harakah > Anak lancar ‘Gerakan Selamatkan Felda’ 8 Dis

Anak lancar ‘Gerakan Selamatkan Felda’ 8 Dis

TEMERLOH, 12 Nov: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan melancarkan program ‘Gerakan Selamatkan Felda’ peringkat kebangsaan pada 8 Disember ini di perkarangan Masjid Lama Bandar Jengka.
Menurut presidennya, Mazlan Aliman, program yang bakal disertai oleh warga Felda seluruh negara itu akan diisi dengan Solat Hajat serta majlis taklimat perdana berkaitan isu penyenaraian Felda ke dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
“Dua orang pakar ekonomi iaitu Dr Rosli Yaakob dan Razman Zakaria dijangka akan membentangkan pengalaman masing-masing termasuk tentang risiko penyenaraian Felda supaya warga Felda mendapat gambaran jelas.
“Di satu pihak telah diberi gambaran kebaikan penyenaraian oleh pemimpin negara kerana lebih 220 ribu peneroka dimaklumkan akan mendapat durian runtuh, namun di pihak yang satu lagi kami ingin memberitahu bahawa terdapat risiko amat besar apabila Felda memasuki penyenaraian awam.
“Kita boleh ambil iktibar bagaimana nasib amanah saham negeri-negeri seperti Johor, Selangor, Pahang, Terengganu yang semuanya lingkup apabila memasuki pasaran saham,” katanya dalam sidang medianya di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan belanjawan 2012, mengumumkan kerajaan bercadang menyenaraikan Felda di BSKL  melalui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) tahun hadapan.
Menurut Mazlan, cubaan penyenaraian ini bukanlah kali pertama di mana pernah cuba dilakukan pada tahun 2003 oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed ketika membentangkan belanjawan tetapi dibatalkan oleh Tun Abdullah Badawi.
Tambah Mazlan, kini Najib sekali lagi cuba mengikut langkah Dr Mahathir menyenaraikan Felda melalui syarikat yang baru wujud iaitu FGVH yang akan menelan syarikat yang menjadi hak dan kepentingan peneroka selama ini iaitu Felda Holding Berhad.
“Syarikat itu (FGVH) pula diketuai oleh (Datuk Sabri Ahmad) seorang yang kita tahu track recordnya semasa beliau di Golden Hope. Bagaimana boleh diberi kepercayaan yang begitu tinggi kepadanya sedangkan kontraknya dalam sudah hampir tamat.
“Anak kesal yang amat sangat dengan tindakan Pengerusi Felda dan kini dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) Tan Seri Isa Samad yang masih meneruskan usaha ke arah penyenaraian Felda meskipun banyak dibantah oleh peneroka,” jelasnya.
Berkenaan durian runtuh untuk peneroka yang dicanangkan oleh Najib, Mazlan berkata, Anak dimaklumkan mereka akan dapat sekitar RM15,000 dalam bentuk saham.
“Nak cari di mana wang kerana rizab tunai Felda yang ada pada masa ini ada sekitar RM600 juta merosot dari tahun 2009 RM1.37 bilion. Walhal masa Raja Alias tinggalkan dulu ada RM7 bilion rizab tunai. Ertinya di zaman dua perdana menteri Felda telah kehilangan lebih 80% rizab tunai. Ini menunjukkan pemborosan yang luar biasa. Sepatutnya rizab Felda makin meningkat tetapi merosot.”
Kata Mazlan, sehubungan itu Anak meminta Isa menghentikan tindakan memanggil pengerusi-pengerusi koperasi dan ketua-ketua peneroka untuk majlis penerangan Felda disenarai di BSKL yang diadakan di Dewan Perdana Felda sehingga membelanjakan berjuta-juta ringgit wang Felda.
Tambah Mazlan, Isa tidak boleh terlalu gelojoh sementara menunggu keputusan tribunal kerana Anak telahpun membuat aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan membuat bantahan kepada tribunal SKM pada 18 Oktober lalu.
Mengulas lanjut mengenai bantahan Anak terhadap Isa, Mazlan mendakwa bekas pesalah rasuah Umno itu menjadi Pengerusi KPF ikut pintu belakang berikutan campur tangan Perdana Menteri (PM) kerana status beliau (Isa) sendiri dilantik secara kontrak dan tidak layak menjadi ahli KPF kerana bukan peneroka ataupun warga Felda.
“Pada 15 Ogos lalu surat dihantar oleh Ketua Setiausaha Sulit Kanan PM yang memaklumkan PM setuju melantik Isa sebagai Pengerusi KPF sedangkan Datuk Zulkifli baru saja dilantik pada Mesyuarat Agung bertarikh 24 Jun 2011. Isa pula baru jadi ahli KPF pada 23 Jun, iaitu sehari sebelum mensyuarat tersebut.
“Jadi nampak sangat ada konspirasi. Pelantikan Pengerusi KPF melalui kuasa menteri Seksyen 87 Akta Koperasi 1993 mengecualikannya daripada tertakluk kepada peruntukan Akta Koperas juga tidak sah kerana perlukan sekurang-kurangnya dua tahun menjadi ahli, sedangkan Isa baru dua bulan jadi ahli.
“Sebab itu saya katakan ini semacam ada konspirasi dan jelas menyalahi akta koperasi sendiri. Dengan itu Anak menganggap ini satu pencabulan,” tegas Mazlan.
Sehubungan dengan itu Mazlan merayu warga Felda agar mengenepikan sentimen politik sebaliknya bersatu menghentikan usaha penyenaraian Felda di BSKL bermula dengan program ‘Gerakan Selamatkan Felda’ 8 Disember ini.
Katanya, lebih baik Felda tumpukan penyelesaian kepada permasalahan peneroka yang tidak diberi perhatian selama ini seperti isu-isu KPG, wang tanam semula (TTS), hutang ladang peneroka yang tidak munasabah, ladang urusan Technoplants dan sebagainya supaya tidak jadi seperti pepatah ‘yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran’.

View the original article here

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: