Home > Artikel Berita Dari Harakah > LPP perlu diperkasa tingkat pendapatan petani

LPP perlu diperkasa tingkat pendapatan petani

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Pihak kerajaan diminta mengambil inisiatif untuk memperkasakan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di peringkat akar umbi, bagi membolehkannya memainkan peranan lebih berkesan untuk mempertingkatkan pendapatan para petani di seluruh negara.

Langkah-langkah yang perlu dimainkan oleh LPP dalam hubungan ini termasuk dengan mengadakan bimbingan berterusan kepada para petani supaya mereka lebih terangsang untuk mempertingkatkan mutu dan hasil pertanian masing-masing.

Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Mohd Taib berkata, sehubungan itu, LPP perlu turut memainkan peranan berkesan bagi membantu para petani memasarkan hasil tanaman mereka di pasar-pasar tani.

Menurutnya, sehingga kini para petani masih gagal memasarkan hasil tanaman mereka di pasar-pasar tani, sebaliknya jualan di pasar tersebut lebih tertumpu kepada hasil tanaman dari ladang-ladang yang telah menjana pendapatan tinggi.

Katanya, pada hal pasar-pasar tani sepatutnya menjual hasil-hasil tanaman para petani tempatan, tambahan pula minat para pembeli kini sememangnya lebih terarah kepada hasil-hasil para petani tempatan sendiri.

“Dengan keadaan yang berlaku itu, ternyata para petani masih belum terbela. Malah mereka terpaksa bersaing pula dengan pengusaha-pengusaha ladang-ladang yang telah mengaut keuntungan lumayan untuk memasarkan hasil tanaman mereka,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.

Dalam usaha mempertingkatkan pendapatan para petani, menurutnya, pihak Kementerian Pertanian juga perlu memikirkan langkah yang perlu dilakukan untuk mempertingkatkan kaedah pertanian negara.

Katanya, pihak kerajaan amat perlu membantu para petani agar mengusahakan pertanian mereka dengan kaedah moden seperti di negara-negara maju bagi membantu para petani mempertingkatkan pendapatan.

“Sehingga kini, para petani di negara kita masih lagi mengusahakan pertanian mereka dengan cara tradisional dan ini ternyata merumitkan mereka mempertingkatkan pendapatan masing-masing,” katanya.

Selain itu, katanya, langkah-langkah wajar juga perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menarik golongan terpelajar melibatkan diri dalam bidang pertanian seperti yang dilakukan oleh penduduk-penduduk di negara-negara maju.

“Sekiranya golongan terpelajar turut terlibat dlam bidang pertanian, mereka pasti berkeupayaan mempertingkatkan mutu dan hasil pertanian negara selaras dengan kepakaran yang ada pada mereka,” ujarnya.

Manakala Jabatan Parit dan Saliran (JPS) pula, tegasnya, perlu memainkan peranan aktif dengan sentiasa memerhatikan sistem pengairan di kawasan-kawasan pertanian bagi membantu para petani melaksanakan kerja mereka dengan baik.

“Sehingga kini parit-parit di kawasan pertanian terutama di kawasan Baling banyak yang tertimbus. Begitu juga dengan aliran-aliran sungai.

“Jadi JPS amat perlu memantau semua itu dengan baik dengan segera mengatasi masalah yang timbul yang tentunya amat menyusahkan para petani untuk bercucuk tanam dengan baik,” katanya.

Beliau turut menyarankan Jabatan Vaterinar memainkan peranan aktif dalam usaha memberikan rawatan segera kepada penternakan para petani mereka yang berpenyakit.

“Sejauh yang saya ketahui, peranan ini sehingga kini gagal dilaksanakan dengan baik oleh Jabatan Vaterinar. Akibatnya, penternakan para petani seperti lembu-lembu dan kambing-kambing mereka banyak yang mati kerana gagal dirawat dengan segera oleh pihak terbabit.

“Ini tentunya merumitkan kehidupan para petani, sedangkan penternakan itu adalah sumber pendapatan sampingan mereka bagi membantu mereka mempertingkat pendapatan untuk menyara keluarga,” tegasnya.

Kesemua perkara itu turut dibangkitkan oleh beliau ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat 7 November lalu.

“Saya berharap agar kesemua pandangan dan saranan saya itu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh pihak-pihak terbabit demi membantu para petani di seluruh negara,” ujar beliau.

View the original article here

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: