Home > Setempat > Tragedi 11.11.11

Tragedi 11.11.11

SLIM RIVER: Tarikh unik 11.11.2011 yang mahu diraikan sekumpulan 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, dengan mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila seorang guru pengiring dan dua pelajar maut dalam kemalangan ngeri awal pagi semalam.


Nahas jam 4.45 pagi itu turut meragut nyawa Ketua Wanita Umno cawangan Alor Teja, Kedah, Basarah Saad, 45, yang mulanya cuba mahu membantu kumpulan pelajar berkenaan.


Kebanyakan mangsa yang maut ditemui tersepit di bawah bas sejurus kenderaan itu dirempuh treler berhampiran Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang, di sini.


Difahamkan semua pelajar terbabit mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini dan dalam perjalanan melawat destinasi pelancongan di ibu kota Kuala Lumpur selain pusat peranginan Genting Highlands.


Bas persiaran dinaiki pelajar sekolah itu dipercayai hilang kawalan selepas mengambil satu selekoh sebelum terbabas dan terbalik di bahu lebuh raya.


Ketika kebanyakan mangsa cuba merangkak keluar dari bas terbalik itu, sebuah treler membawa guni berisi pasir yang gagal mengelak beberapa minit kemudian merempuh bas berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Md Tahir Kasim berkata, tiga warga SMK Air Merah yang terbunuh dalam nahas jam 4.45 pagi itu ialah Siti Hajar Mohamed, 33 (guru), dan dua pelajar, Khairul Anwar Azhan, 15, dan Maysarra Zaidi, 15.


Menurutnya, nahas berlaku apabila bas dinaiki pelajar dan guru berkenaan terbalik sebelum dirempuh sebuah treler yang datang dari belakang ketika mangsa berusaha menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu penumpang dan cermin hadapan bas.

Katanya, Khairul Anwar, Maysarra dan Basarah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Siti Hajar menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Slim River (HSR). “Akibat kemalangan itu, kaki kiri Siti Hajar putus sebelum ditemui di lokasi kejadian jam 10.20 pagi semalam,” katanya.


Md Tahir berkata, kemalangan itu turut menyebabkan tujuh penumpang lain parah iaitu dua guru, Rosilawati Mat Rifin, 40, dan Azriah Hani, 31 serta empat pelajar, Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, Mohd Azim Dahalan, Moha Faisal Anuar dan Mohammad Shariffuddin, semua berusia 15 tahun.


View the original article here

Categories: Setempat Tags: ,
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: