Home > Mutakhir > LBGT langgar fitrah

LBGT langgar fitrah

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim meminta penganjur Program Seksualiti Merdeka 2011 tidak ‘menjual’ nama hak asasi manusia.


Katanya, hak asasi hanya perlu diperjuangkan bagi manusia yang sesuai dengan tuntutan fitrah selari dengan kehendak agama, budaya dan masyarakat sejagat.


Sambil menyatakan persetujuan dengan pendirian Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Nordin yang menulis dalam blognya, Dr Mashitah berkata, pihak berkenaan seolah-olah cuba menguji dan mengajak rakyat negara ini menerima aktiviti songsang membabitkan lesbian, gay, bisekual dan transgender (LGBT).


“Saya rasa mereka cuba menghalalkan LGBT, sedangkan ia sebenarnya melanggar fitrah manusia… mungkin kerana ada sekelompok dua di kalangan orang atasan mereka mengamalkan budaya itu menyebabkan mereka cuba menguji sejauh mana penerimaan rakyat Malaysia.


“Memang diakui ada di kalangan rakyat kita keliru dengan jantina, di mana lelaki terperangkap dalam jiwa wanita dan begitu juga sebaliknya, tetapi mereka perlu didekati untuk dipulihkan mengikut fitrah, bukan dikumpulkan untuk menghalalkan aktiviti songsang yang akhirnya merosakkan masyarakat.


“Sebenarnya pelbagai program kita jalankan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membantu golongan ini, dan terbaru kita akan mengadakan perjumpaan melalui satu program di wilayah utara untuk membantu mereka yang dibelenggu kecelaruan jantina,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, apa dilakukan penganjur program Seksualiti Merdeka seolah-olah cuba mengiktiraf dan bukan membantu menyelesaikan masalah golongan berkenaan, sebaliknya menambah kesulitan hidup diri dan masyarakat setempat dalam jangka masa panjang.


Beliau berkata, perlakuan seks secara songsang adalah kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang yang diperuntukkan mengikut kesalahan syariah atau sivil.

Program Seksualiti Merdeka yang dijadualkan bermula 1 November lalu sehingga hari ini adalah acara tahunan bagi meraikan hak asasi manusia daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina anjuran sekumpulan gabungan NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.


Pada 5 November lalu, penganjurnya mengumumkan ia ditutup kepada awam dan antara program yang dirancang sepanjang festival berkenaan ialah forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.


Setakat ini, polis mengambil keterangan daripada lebih 50 individu, termasuk penganjur, peserta dan penyokong, bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 bertujuan menyokong dan memperkasa golongan LGBT dan proses mengumpul maklumat masih dijalankan.


Melalui kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, sebanyak 154 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak berhubung bantahan penganjuran berkenaan.


Polis menjangka ramai pihak, termasuk aktivis sosial, akan dipanggil untuk memberi keterangan lanjut dan ia dilakukan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan. 

View the original article here

Categories: Mutakhir Tags: ,
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a comment