Archive

Archive for the ‘Politik’ Category

Penyenaraian FGVH: Adakah masa depan peneroka terjamin?

November 12, 2011 Leave a comment

Pada masa sekarang, kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA adalah terletak di dalam pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF). Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FGVH yang dimiliki 100% oleh FELDA.

FHB adalah sebuah syarikat yang maju dan berdaya saing. Pada tahun 2009 sahaja, FHB yang menumpukan perniagaannya di dalam negara melalui 47 anak-anak syarikatnya yang aktif  telah mencatat perolehan (revenue) sebanyak RM11.8 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM804.3 juta.

Hasil daripada dividen dan bonus yang dibayar dari keuntungan FHB itu telah membolehkan KPF, selaku pemegang sahama majority di dalam FHB (51%), merekodkan perolehan sebanyak RM15.64 bilion pada tahun kewangan berakhir 2010 dan juga keuntungan sebelum cukai sebanyak RM766,660 juta. Kejayaan ini telah membawa kepada kejayaan KPF dianugerahkan sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010 (kategori kluster besar).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jelas menunjukkan hasil dari dividen dan bonus yang diperolehi dari keuntungan FHB telah menjadi antara penyumbang utama kepada  pendapatan KPF selaku pemegang amanah bagi pihak ahli-ahlinya, terutama para peneroka di tanah-tanah rancangan FELDA.

Pada tahun 2010 sahaja, FHB telah membayar dividen sebanyak RM237.64 juta kepada KPF dan sekaligus menjadi antara penyumbang utama terhadap bayaran dividen sebanyak 15% yang diagihkan oleh KPF kepada 220,210 orang anggotanya, selain dari hasil keuntungan perniagaan yang dijalankan sendiri oleh KPF dan anak-anak syarikatnya yang lain.

Tidak syak lagi peneroka dan ahli keluarga peneroka adalah ‘tulang belakang KPF’ di mana keahliaan KPF telah mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka, ahli keluarga dan generasi kedua.

Manakala dari segi modal syer, peneroka merupakan pemilik kepada RM1.17 bilion nilai modal syer yang bersamaan dengan 71.83% dari keseluruhan modal syer KPF.

Di dalam struktur baru selepas dari pentrukturan semula dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, KPF dikatakan akan melepaskan kepentingan sebanyak 51% di dalam FHB di mana nanti FHB dan seluruh komponennya akan diletakkan di bawah FGVH dan KPF akan memegang kepentingan sebanyak 60% di dalam struktur baru FGVH ini bagi mewakili para peneroka dan kakitangan FELDA.

Soal pegangan KPF sebanyak 51% atau 60% sebenarnya tidaklah begitu penting sangat. PERSOALAN PALING PENTING DAN PALING MUSTAHAK UNTUK DIBERIKAN JAWAPAN IALAH : APAKAH JAMINAN BAHAWA FGVH SELEPAS DISENARAIKAN NANTI  AKAN MAMPU MEMBAWA PULANGAN/KEUNTUNGAN DALAM BENTUK DIVIDEN DAN BONUS UNTUK DIBAYAR KEPADA KPF,  DALAM JUMLAH YANG SAMA SEBAGAIMANA YANG MAMPU DIBAYAR OLEH FHB SEBELUM INI IAITU RM289.69 JUTA PADA TAHUN 2009 DAN RM237.64 JUTA PADA TAHUN 2010?

Jika FHB selama ini mempunyai track record yang baik, tetapi pada FGVH pula yang menjalankan perniagaan dan pelaburan di luar negara hanya nampak gah dari segi nama, tetapi pencapaiannya begitu mengecewakan dan memalukan.

Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah mendedahkan bagaimana pelaburan-pelaburan yang dijalankan oleh anak-anak syarikat FGVH seperti FELDA Iffco Sdn Bhd, FELDA Global Technologies melalui Twin Rivers Technologies US (TRT), FELDA Global Ventures Middle East dan FELDA Global Ventures Arabia semuanya mencatakan kerugian terkumpul hampir RM500 juta setakat tahun 2010.

Persoalannya, bagaimana syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang  maju dan terbukti ‘profitability’nya?

Tidakkah dari segi amalan kewangan dan perakaunan, FHB yang  kukuh dari segi kewangannya akan terpaksa menampung dan menangggung segala macam kerugian dan masalah yang dialami oleh FGVH?

Jika ini berlaku, kita tak nampak bagaimana FGVH boleh memberikan pulangan yang diharapkan kepada peneroka dan apa yang boleh dicapai hasil dari penyenaraian ini.

Terlebih penting ialah penyenaraian FGVH akan membuka ruang kepada orang luar(bukan bumiputera) menjadi pemegang saham; sekaligus menjejaskan kepentingan hak melayu atas Felda yang wujud sejak tahun 1956. Akan ada orang luar menjadi Lembaga Pengarah yang bakal mencorakkan polisi Felda di masa depan.

Ianya tidak pernah di minta oleh orang luar; sebaliknya pemimpin politik melayu UMNO sendiri yang memberinya! Mana dia ikrar dan tempik sorak HIDUP MELAYU serta sumpah keramat sanggup mati demi melayu yang menjadi zikir pemimpin UMNO? Adalah jelas, pemimpin UMNO menjadi PENGKHIANAT kepada orang melayu!

Penyenaraian  FGVH adalah merupakan percubaan kedua yang gagal kali pertama di zaman Tun Dr Mahathir tahun 2003. Ia didalangi oleh seorang menteri kabinet. Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau membatalkan cadangan penyenaraian Felda Holding ke BSKL(kini Bursa Malaysia).

Perdana Menteri ketika membentangkan bajet pada 7 oktober lalu mengisytiharkan dengan bangganya bahawa peneroka akan mendapat ‘durian runtuh’ apabila FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia.

Anak difahamkan setiap peneroka akan mendapat saham percuma sebanyak RM15,000. Gula-gula untuk memperdaya peneroka agar bersetuju dengan penyenaraian tersebut yang kononnya bakal memberi pulangan lumayan. Inilah taktik yang sama digunakan oleh penjajah jika berdepan dengan penduduk atau menjinakkan penentangnya. Adakah pemimpin UMNO dan kuncu-kuncunya menjadi penjajah moden? Kata pelawak Nabi; LU FIKIRLAH SENDIRI!

ISU TAN SRI ISA SAMAD DAN KPF

Tan Sri Isa Samad nampaknya sekarang menjadi orang yang paling berkuasa atau Maharaja di dalam FELDA. Mula-mula dilantik PM sebagai Pengerusi FELDA menggantikan Tan Sri Yusuf Nor. Untuk mendamaikan Yusuf Nor, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Yayasan FELDA.

Tetapi beberapa bulan lepas, Yusuf Nor telah turut ditendang dari jawatannya sebagai Pengerusi Yayasan FELDA. Pengggantinya tak lain tak bukan ialah Isa Samad. Yusuf Nor semakin tidak dipedulikan dan sekarang hanya dilantik sebagai Penasihat FELDA .

Selepas berjaya membolot jawatan Pengerusi FELDA dan juga Yayasan FELDA, Isa nampaknya masih tak puas hati. Beliau kemudiannya dengan penuh muslihat cuba menempatkan dirinya sebagai Pengerusi KPF dengan mengenepikan Pengarah Besar FELDA, Datuk Zulkifli Wahab yang mana memang secara tradisinya Pengarah Besar atau mana-mana kakitangan kanan FELDA akan dilantik sebagai Pengerusi KPF.

Hasrat penubuhan KPF pada 1980 adalah murni. Apabila FELDA mula membuka sayap perniagaannya dengan menubuhkan syarikat-syarikatnya pada tahun 1980an, maka KPF ini selaku koperasi induk kepada peneroka dan kakitangan FELDA ditugaskan untuk memegang kepentingan peneroka dan kakitangan FELDA di dalam syarikat-syarikat perniagaan yang diceburi oleh FELDA di samping KPF sendiri selaku sebuah koperasi turut bergiat dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan.

Kemampuan pengurusan KPF yang bebas dari campur tangan orang politik oleh kerana hanya melibatkan peneroka dan kakitangan FELDA, adalah terbukti bilamana KPF telah diisytiharkan sebagai Koperasi Terbaik di Malaysia bagi tahun 2010 (kategori Kluster Besar) dengan perolehan lebih RM15  bilion hingga mengalahkan Bank Rakyat yang menduduki tempat kedua dengan perolehan hanya disekitar RM3 bilion.

Keuntungan  KPF ini diperolehi hasil dari pembayaran keuntungan dan dividen oleh FHB yang dimiliki sebanyak 51% oleh KPF di samping keuntungan dari perniagaan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat kumpulan KPF seperti D’Saji dan juga FELDA Trading Sdn. Bhd. Hasil dari keuntungan  inilah menyebabkan KPF mampu membayar dividen sebanyak 15% kepada ahli-ahlinya.

Hingga setakat ini, keahliaan KPF telah mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka, ahli keluarga dan generasi kedua.

Ramai melihat KPF ini sebagai lombong emas apatah lagi reputasinya sebagai sebuah koperasi terkaya di Malaysia yang ‘cash rich’. Baru-baru ini Anak dapat tahu KPF membuat pelaburan dengan membeli blok ruang komersil dan pejabat di kawasan Southgate, Sungai Besi dengan harga lebih kuran RM200 juta dengan tidak membuat sebarang pinjaman bank. Maka, tidak hairanlah KPF menjadi sasaran pihak-pihak tertentu yang ingin membolot hasil dan keuntungan KPF.

Cubaan melantik Isa sebagai Pengerusi KPF dipenuhi dengan tindak tanduk yang bertentangan dengan undang-undang.

Beliau sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya di dalam KPF adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah hanya bertaraf kontrak sedangkan Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi Ahli KPF ialah peneroka FELDA, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan FELDA yang berstatus tetap. Tetapi adalah sesuatu yang amat menghairankan apabila pada 23hb  Jun 2011 (sehari sebelum Mesyuarat Agung KPF bagi tahun 2011) beliau tiba-tiba telah menjadi Ahli KPF.

Tak sampai dua bulan selepas menjadi Ahli KPF, Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada PM iaitu Datuk Aziz telah menulis surat bertarikh 15hb Ogos 2011 kepada Isa memaklumkan bahawa PM telah bersetuju supaya Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF yang baru dengan mengenepikan begitu sahaja Datuk Zulkifli Wahab, Pengarah Besar FELDA yang baru sahaja tak sampai dua bulan disahkan perlantikannya sebagai Pengerusi KPF di dalam Mesyuarat Agung KPF.

Isunya di sini : Apa kuasa PM untuk campur dalam hal-ehwal dalaman sebuah koperasi yang mempunyai undang-undangnya sendiri dan tertakluk kepada Akta Koperasi dan juga Suruhanjaya Koperasi Malaysia? Kenapa undang-undang dilanggar dengan tidak memperdulikan suara lebih 200 ribu ahli-ahli KPF untuk menentukan kepimpinan KPF yang mereka anggotai?

Jika Isa layak sekalipun menjadi Ahli KPF, namun perlantikan beliau sebagai Pengerusi KPF tetap melanggar peruntukan di dalam Seksyen 43 Akta Koperasi 1993 dan juga Undang-Undang Kecil KPF sendiri di mana disyaratkan mana-mana ahli sesebuah koperasi yang hendak dilantik atau dipilih sebagai Anggota Lembaga sesebuah koperasi itu hendaklah telah genap dua (2) tahun menjadi Ahli bagi koperasi itu.

Macamana Isa hendak menjadi  Pengerusi KPF sedangkan beliau baru dua (2) bulan menjadi Ahli KPF?

Anak difahamkan isu perlantikan Pengerusi KPF ini dan penyingkiran Datuk Zulkifli Wahab ini sedang menjadi isu yang hangat di kalangan peneroka dan warga FELDA keseluruhannya yang majoriti besar membantah keras tindakan yang membelakangkan undang-undang ini.

Telah ada ahli-ahli KPF yang menyatakan hasrat akan menyaman perkara ini ke Mahkamah di sebabkan oleh tindakan kerajaan ini yang langsung tidak menghormati mereka sebagai ahli di samping membelakangkan undang-undang dan peraturan. Soalnya, apakah Kerajaan dan FELDA ingin berterusan membawa imej buruk dengan acapkali disaman di Mahkamah semata-mata kerana mepertahankan seorang individu yang jelas punya kepentingan politik?

Anak tahu hujah dan strategi yang digunakan untuk tetap juga melantik  sebagai Pengerusi KPF ialah dengan bersandarkan kepada Seksyen 87 Akta Koperasi 1993 yang memberi kuasa kepada Menteri yang menjaga hal ehwal koperasi untuk mengecualikan mana-mana koperasi dari tertakluk di bawah mana-mana peruntukan di dalam Akta Koperasi.

Ini bermakna dalam kes ini Menteri boleh mengecualikan pemakaian Seksyen 43 Akta Koperasi 1993 berkaitan dengan syarat keahlian selama dua tahun untuk membolehkan seseorang itu dilantik sebagai Anggota Lembaga Koperasi terhadap KPF bagi membolehkan Isa ditabalkan sebagai Pengerusi KPF yang baru.

Namun harus diingat, Menteri bukannya berkuasa mutlak untuk berbuat demikian. Dalam akta dan juga kaedah undang-undang yang biasa, mana-mana pihak berkuasa atau Menteri yang diberi kuasa seumpama ini, harus menunjukkan dan memberikan alasan yang kukuh kenapa beliau bertindak memberi pengecualian tersebut. Ini bermakna, Menteri tetap mempunyai duty to give reason sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

Anak telah mengiringi lebih 20 orang wakil peneroka seluruh Negara menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada 18 Oktober lalu. Beberapa orang pemegang saham KPF telah juga membuat bantahan melalui tribunal SKMM pada hari yang sama.

Seterusnya Anak ingin juga membangkitkan isu yang lebih menggemparkan, iaitulah sebenarnya perlantikan Isa sebagai Pengerusi KPF adalah tidak sah sama sekali dan perlu dibatalkan oleh kerana terdapat unsur-unsur jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalamnya.

Kenapa saya berani mengatakan begini? Untuk pengetahuan semua, menurut undang-undang KPF, daripada keseluruhan 12 orang Anggota Lembaga KPF, tiga (3) daripadanya hendaklah dipilih dari kalangan ahli KPF yang dilantik atau dinamakan oleh Lembaga Pengarah FELDA, tertakluk kepada pengesahan di dalam Mesyuarat Agung KPF.

Undang-Undang Kecil KPF juga menyatakan dengan jelas bahawa tiga orang ini yang dinamakan oleh Lembaga Pengarah FELDA untuk duduk di dalam Lembaga KPF hendaklah memegang jawatan sebagai Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari KPF.

Dari segi amalannya, kebiasaannya tiga orang ini adalah dinamakan atau dilantik  dari kalangan kakitangan kanan FELDA. Sebagai contoh, pada masa ini Datuk Zulkifli Wahab selaku Pengarah Besar FELDA adalah juga Pengerusi KPF. Manakala jawatan Setiausaha dan Bendari KPF pula diisi oleh dua orang Timbalan Pengarah Besar FELDA.

Sebaik mendapat surat dari Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri yang bertarikh 15hb Ogos 2011 sebagaimana yang saya nyatakan di atas, Isa kemudiannya telah memanggil secara tergesa-gesa satu Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah FELDA  pada 25hb Ogos 2011, iaitu beberapa hari sahaja sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kenapa tak boleh tunggu selepas Raya?

Bahkan nampaknya tarikh ini sengaja dipilih kerana ketika itu Pengarah Besar FELDA, Datuk Zulkifli Wahab yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah FELDA berada di Mekah untuk menunaikan Umrah. Dari sini Anak nampak bagaimana konspirasinya.

Perkara yang dibincangkan di dalam Meyuarat Lembaga Pengarah FELDA ini adalah  supaya Lembaga Pengarah FELDA melantik Isa sebagai Pengerusi KPF atas alasan Isa telah menerima surat dari KSUSK PM yang merestui perlantikan Isa sebagai Pengerusi KPF.

Usul atau cadangan untuk melantik Isa menggantikan Datuk Zulkifli ini telah dibawa oleh Dr Omar Salim, Ketua Unit Kawal Selia FELDA di JPM dan disokong kuat oleh Datuk Sabri Ahmad, CEO Felda Global Ventures yang prestasinya dipertikaikan akibat kerugian besar di dalam pelaburan-pelaburan di luar negara.

Amat mengejutkaan sama sekali kerana sewaktu cadangan Dr Omar Salim ini dibincangkan oleh ahli mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA, Anak mendapat maklumat yang menyatakan bahawa Isa yang merupakan orang yang berkepentingan dan menjadi subjek perbincangan telah tidak keluar meninggalkan mesyuarat bahkan terus mempengerusikan Mesyuarat dalam keadaan mesyuarat itu membincangkan kedudukan peribadinya!

Bagaimana ahli-ahli Lembaga Pengarah FELDA hendak membincangkan secara bebas dan telus usul tersebut sekiranya tuan empunya diri turut berada dalam mesyuarat!? Takkanlah FELDA sebagai sebuah agensi kerajaan yang berprestij tidak tahu bahawa kelakuan sebegini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009  dan Seksyen 2 Ordinan Darurat Kuasa-kuasa perlu No 22/1970 ?. SPRM mesti menyiasatnya!

Inilah yang Anak katakan bahawa perlantikan ini adalah tidak sah oleh kerana terdapat perlakuan jenayah rasuah di dalamnya.

Secara spesifik, terdapat empat orang pemimpin politik UMNO bertanggungjawab dan bersubahat di dalam perlakuan yang melanggar undang-undang rasuah ini iaitulah PM sendiri selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam soal FELDA, YB Datuk Ahmad Maslan yang merupakan Timbalan Menteri di JPM yang menjaga hal ehwal FELDA, YB Hamim Samuri MP Ledang yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah FELDA dan juga YB Datuk Ismail Mutalib MP Maran yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Ini bermakna, bukan sahaja tindakan mengadakan mesyuarat ini amat tidak beretika dan berakhlak kerana diadakan secara ’serang hendap’ dalam keadaan orang yang hendak digugurkan itu berada di Makkah, bahkan yang lebih besar ialah berlakunya salah laku jenayah rasuah disebabkan Pengerusi mesyuarat yang punya kepentingan terus duduk dalam mesyuarat sewaktu agenda yang melibatkan kedudukan peribadinya dibincangkan.

Anak masih ingat sewaktu Isa hendak dilantik sebagai Pengerusi FELDA pada awal tahun ini (2011) menggantikan Tan Sri Yusuf Nor, dua orang tokoh terkemuka iaitu Allahyarham Prof Dr Zainal Aznam (Penasihat Bank Negara dan Ahli MTEN) dan juga Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz (CEO Maybank Investment) secara terbuka mempertikaikan perlantikan Isa atas alasan ianya akan memberi imej yang buruk di dalam pasaran akibat dari reputasi Isa yang pernah disabitkan bersalah oleh Lembaga Disisplin UMNO selepas Pemilihan UMNO 2004 akibat kesalahan rasuah politik wang hinnga Isa dibuang dari jawatan Naib Presiden UMNO dan disingkirkan dari kabinet. Anak daripada awal membantah keras perlantikan Isa dan menggerakkan kempen ‘ Katakan tidak kepada Isa Samad’. Namun ianya tidak dipedulikan langsung oleh PM.

Anak percaya penasihat-penasihat politik kepada PM ada memberikan nasihat berkaitan dengan Isa ini yang mana perlantikan ini jika diteruskan akan memburukkan lagi imej PM di mata rakyat. Saya percaya nasihat yang sama bukan hanya diberikan pada masa ini, tetapi juga pada ketika Isa hendak dilantik sebagai Pengerusi FELDA lebih kurang setahun yang lalu. Namun, saya hairan kenapa PM begitu takut dan menurut sahaja kehendak Isa? Apa sebenarnya yang menyebabkan PM sanggup menjadikan Isa begitu berkuasa di FELDA?

Justeru; menyedari dan menginsafi tindak tanduk Isa Samad dan Sabri Ahmad yang didalangi oleh PM serta Ahmad Maslan; Gerakan Mansuhkan Isa 2.0 dilancarkan di Parlimen pada 18 Oktober lalu. Kempen memungut tandatangan sedang digerakkan ke seluruh Negara. Bukan sahaja tertumpu kepada 1.6 juta warga Felda tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Siri Munajat termasuk solat hajat, taklimat dan dialog. Pengedaran risalah, info melalui blog, facebook, twitter akan dimaksimumkan. Sokongan semua pihak dalam pelbagai cara sangat di alu-alukan.

Memorandum kepada PM beserta tandatangan bantahan akan diserah sebelum tamat sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini. Isa Samad WAJIB dinyahkan sebagai Pengerusi Felda. Beliau memberi banyak masalah kepada warga Felda. Berilah kepercayaan kepada pemimpin yang bersih, telus dan berwibawa  khususnya 10 ribu cerdik pandai anak peneroka Felda yang di umum oleh Datuk Ahmad Maslan beberapa bulan lalu. Tidak adakah yang layak menerajui Felda?

Penulis adalah AJK PAS Pusat yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak)

View the original article here

Allah is Calling: Menjadi asbab hidayah

November 12, 2011 Leave a comment

Sesungguhnya persoalan hidayah adalah tugas dan kerja Allah SWT, walaupun mungkin dari segi zahirnya seseorang itu kelihatan tidak beriman dan mungkin juga jelas menentang-Nya, namun dari segi batinnya tiada seorangpun yang tahu bahawa dia benar-benar cenderung dan suka kepada kebenaran, khususnya Islam, satu-satunya agama yang diperakui Allah SWT.

Bagi kita yang memang lahir daripada keluarga Islam, tidak mudah untuk menghukum seseorang terutama dari individu yang bukan Islam, bahawa mereka adalah ahli neraka dan pasti akan kekal menghuni di dalamnya, tetapi persoalannya di sini, pernahkah kita berjumpa mereka dan berkata sesuatu mengenai Islam sebelum menjatuhkan apa-apa hukum terhadapnya sebelum mengatakan bahawa mereka memang ahli neraka.

Itulah kesilapan yang memang semulajadi ada pada diri kita yang memang suka menjatuhkan hukum kepada individu tertentu terutama di kalangan bukan Islam, malah ia jadi trend di kalangan kita, sepatutnya kita sudah berubah menjangkau lebih daripada itu, iaitu menjadi golongan yang bersedia untuk memimpin mereka ke jalan selamat di dunia dan akhirat dengan menjadikan ‘Sirah Nabi Muhammad’ sebagai inspirasi untuk berdakwah.

Justeru, buku ‘Allah is calling’ ini diharapkan menjadi sumber bacaan kepada kita untuk menilai semula apakah peranan yang telah kita laksanakan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dengan menyeru seramai mungkin manusia ke jalan makruf dan meninggalkan jalan-jalan mungkar bertepatan dengan ikrar dan sumpahan kita dalam setiap solat fardu yang kita lakukan.

Sesungguhnya individu-idividu yang tercatat dalam buku ini adalah segelintir daripada mereka yang mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah, walaupun mereka terdiri daripada bangsa yang jahat, dilaknat dan dibenci Allah iaitu Yahudi, namun terdapat di kalangan mereka sebenarnya yang cenderung dan minat kepada Islam, apapun ia bukan perkara mustahil bagi Allah SWT dan tidak tidak seorangpun yang mampu menghalangnya jika Dia mahu berbuat demikian.

Sejarah telah membuktikan bahawa Abdullah Bin Salam di zaman Rasulullah s.a.w., Ka’ab al-Ahbar dan Wahb Bin Munabbih juga adalah berketurunan Yahudi, tetapi mereka adalah segelintir Yahudi yang telah berjasa kepada perkembangan Islam dan mati kerananya.

Syukur, Istighfar dan Muhasabah solusi kerumitan hidup

Pelbagai usaha dilakukan demi kesejahteraan umat dewasa ini. Pelbagai kaedah dilakukan namun seringkali kualiti hubungan antara manusia dengan Penciptanya (Allah), diabaikan. Iman, ketaatan ibadah, ketekunan dalam mendekatkan diri kepada-Nya, seolah-olah bukan hal yang mampu mensejahterakan manusia di atas muka bumi ini. Ada pula yang menganggap gempa bumi, banjir lumpur, luasnya jarak antara si kaya dengan si miskin sekadar hukum alam dan ia adalah lambang ketidakserasian elemen manusia antara manusia dan bidang antara bidang. Akibatnya, manusia meremehkan aspek kepatuhan manusia kepada Allah SWT.

‘Krisis kepatuhan kepada Allah’ seolah-olah bukan penyebab rosaknya kehidupan manusia itu sendiri. Syukur, istighfar, dan muhasabah seolah-olah suatu teori kuno yang sudah ‘ketinggalan zaman’ dan ‘tidak laku’ untuk dilaksanakan pada zaman moden kini. Ketiga-tiganya boleh dikatakan seumpama terapi yang telah ‘tamat tempoh’ dan tidak sesuai untuk diamalkan, meski untuk kesejahteraan kesihatan fizikal-rohani manusia itu sendiri. Astaghfirullah! Bukankah kita selama ini seringkali menganggap kepatuhan beribadah tidak ada kaitannya dengan kesejahteraan? Seolah-olah ibadah dan kejayaan mempunyai arah tersendiri yang tidak ada kaitant antara satu sama lain? Sampai tahap itukah ciri-ciri bangsa kita yang dikatakan bertuhan? Adakah kita masih percaya bahawa bangsa kita akan sejahtera, sementara kita mengabaikan kepatuhan kepada Pencipta?

Di tengah-tengah gejolak kerumitan hidup yang tidak pernah padam, sama ada gejolak dalam diri, dalam kehidupan berumah tangga atau dalam wilayah yang lebih luas yang melibatkan bangsa dan negara, semestinya setiap peribadi perlu ‘kembali’ kepada Allah dan jujur menyerahkan dirinya, sekali gus berani menyatakan kekhilafan yang dilakukannya. Kemudian, mintalah kekuatan daripada-Nya supaya dengan kekuatan itu kita mampu melangkah ke depan dengan lebih laju dan lebih positif. Kehidupan yang kita jalani selepas itu pasti akan lebih baik dari sebelumnya.

Syukur, mendorong seseorang supaya lebih teliti ketika melihat nikmat yang dianugerahkan Allah kepadanya, kemudian nikmat itu dimanfaatkan semaksimum mungkin; berbanding mengimpikan sesuatu yang tidak ada pada dirinya. Ibarat gelas yang separuh kosong, dia lebih memandang yang bahagian yang terisi, daripada memandang bahagian yang kosong. Dengan memandang kepada bahagian yang terisi, lebih menjadikannya seorang yang tahu berterima kasih. Begitu pula bila sebaliknya.

Ini adalah buku terbaru Kemilau Publika. Sila lawati http://www.kemilau.net.my untuk maklumat lanjut.

Penulis: Muhammad Azhar

Harga: RM16.00/RM19.00

View the original article here

Categories: Politik Tags: , , , ,

Zulkifli Noordin ‘jahil murakkab’ tentang hudud

November 12, 2011 Leave a comment

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru (Bebas), Zulkifli Noordin menuduh hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri. Tuduhan tersebut dibuat dengan kononnya dirujuk kepada draf dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu dulu.

Menurut beliau berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri. Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat.

“Inilah hudud PAS. Ini bercanggah dengan Islam. Dalam Islam, jika seseorang lelaki itu memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang tidak kira dengan sesiapapun termasuk dengan isteri sendiri, ia tetap liwat.”

Adalah suatu yang malang bagi profesion guaman di negara ini mempunyai seorang peguam seperti Zulkifli Noordin yang nampaknya tidak memahami perkara asas dalam penafsiran undang-undang.

Daripada kenyataan beliau di atas adalah jelas bahawa Ahli Parlimen yang “bebal” syariah ini nampaknya terlibat dengan politik murahan yang hanya sekadar untuk menimbulkan keraguan terhadap perkara yang jelas dan tiada keraguan. Mereka yang tidak, seperti dikatakan oleh Abul A’la Maududi, mengetahui ABC mengenai undang-undang syariah mungkin dapat diragukan oleh orang yang ragu seperti Zukifli Noordin.

Hujah beliau yang mengatakan bahawa seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu bercanggah dengan Islam kerana tidak menganggap perbuatan meliwat isteri sebagai satu kesalahan boleh dengan mudah dipatahkan dengan alasan- alasan berikut.

Pertamanya seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu secara jelas memperuntukkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.

Jika dilihat kepada seksyen 14 tersebut terdapat dua kesalahan yang boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan liwat iaitu hubungan seks melalui dubur (anus) antara lelaki dan lelaki dan hubungan seks melalui dubur (anus) antara lelaki dan wanita selain daripada isteri lelaki tersebut.

Seksyen 15 Enakmen yang sama memperuntukkan “ Sesiapa melakukan kesalahan liwat hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina.

Hukuman zina adalah 100 rotan bagi pesalah zina yang ghayru muhsan ( lihat seksyen 13 (2) Enakmen yang sama dan rejam sehingga mati bagi yang Muhsan (lihat seksyen 12 ( 2 ) Enakmen yang sama.

Adalah jelas di dalam memperuntukkan hukuman bagi kesalahan liwat sama dengan hukuman hadd ke atas penzina pihak penggubal undang-undang syariah Terengganu telah mengambil pendapat Imam Malik, Syafie dan Imam Ahmad yang berpandangan bahawa liwat wajib dikenakan hukuman hadd seperti hadd ke atas pesalah zina disebabkan “li wujudin ma’na al-zina fihi” ( kerana kewujudan makna zina padanya) .

Zulkifli menyatakan bahawa berdasarkan seksyen 14 Enakmen tersebut seorang yang meliwat isteri tidak melakukan kesalahan. Beliau berhujah bersandarkan frasa “selain daripada isterinya” suami yang meliwat isteri terlepas dari hukuman hadd.

Kebodohan hujah tersebut timbul kerana beliau tidak memahami perbezaan asas antara hudud dan takzir. Seksyen 14 bercakap tentang hudud. Seorang suami yang meliwat isterinya bukan tidak bersalah. Ia tetap salah. Cumanya kesalahan itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud.

Mungkin Zulkilfli bertanya kenapa tidak boleh kena hukum hudud?

Jawapannya sepertimana yang dikatakan oleh Abdul Kadir Audah di dalam bukunya yang terkenal “Tasyri’ Janaie” terdapat keraguan sama ada isteri yang dinikahi secara sah oleh lelaki boleh dikenakan hukuman hadd hanya kerana ia “menggunapakai hartanya ” mengikut kehendaknya. Dan prinsip yang terpakai dalam hukum hudud adalah keraguan membatalkan hukuman hadd (idraul hudud bisyubhah).

Zulkifli mungkin bertanya adakah ini bermakna seorang suami yang meliwat isterinya akan terlepas hukuman? Jawapan kepada soalan tersebut adalah tidak. Suami yang meliwat isteri masih boleh dihukum tetapi bukan dengan hukuman hudud sebaliknya beliau hanya boleh dihukum oleh hukuman takzir.

Jika Zulkifli cermat dan tidak tergopoh gapah membaca keseluruhan Enakmen tersebut dia akan pasti dapat melihat seksyen 3 Enakmen yang sama (apa yang dipanggil proviso ) yang menyatakan secara jelas.

“Dengan syarat bahawa apabila sesuatu kesalahan hudud atau qisas tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud atau hukuman qisas kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki bagi hukuman-hukuman itu, maka kesalahan itu adalah menjadi suatu kesalahan takzir dan hendaklah ia dihukumkan demikian.”

Seksyen 3 Enakmen tersebut sekaligus menjawab segala kekeliruan yang Zulkifli Noordin cuba timbulkan. Seksyen 3 menunjukkan bahawa liwat ke atas isteri tetap salah menurut enakmen yang PAS gubal tetapi ia bukan kesalahan hudud sebaliknya ianya hanya satu kesalahan takzir. Dan Zulkifli juga kena faham hukum takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman hudud.

Jika Zulkilfli jujur dalam hujahnya beliau sepatutnya mengkritik “hudud Umno”. Dalam undang-undang yang Umno gubal di Wilayah Persekutuan liwat hanya salah jika lelaki meliwat lelaki yang lain.

Berdasarkan tafsiran liwat di Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan adalah jelas bahawa seorang yang sama ada meliwat seorang perempuan yang lain atau meliwat isterinya TIDAK dikira melakukan apa-apa kesalahan di Wilayah Persekutuan jauh sekali akan dihukum

Renungan kepada Zulkifli Noordin: Undang-Undang mana yang lebih melindungi wanita? Ingatlah saudara Zulkifli hanya kerana anda berkopiah bukan bermakna anda layak bercakap tentang undang-undang hudud. Berhentilah jadi jahil murakkab (orang jahil yang tidak tahu dia jahil).

View the original article here

Bantuan RM500 tidak ikhlas?

November 12, 2011 Leave a comment

‘Rumah siap pahat berbunyi’, mungkin itulah peribahasa yang sesuai digunakan terhadap pembentangan belanjawan 2012 yang baru berlalu.

Pengumuman kerajaan bahawa setiap keluarga yang pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah akan diberi RM500 pada akhir tahun ini dinilai daripada pelbagai sudut oleh rakyat, ada yang gembira dan ada yang tersenyum sinis.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pemberian tersebut adalah salah satu usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion.

Selain syarat pendapatan tersebut, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana manakala bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan pemberian RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 530 juta ringgit.

Tidak ketinggalan baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan RM260 juta.

Dari satu sudut, memanglah, rakyat wajar mengalu-alukan pemberian seumpama itu. Sekurang-kurangnya dapat membebankan sedikit golongan sasaran.

Namun berdasarkan syarat-syarat yang diserikan, pasti akan ada golongan sasaran yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut.

Yang pertama, syarat jumlah pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah. Syarat seperti ini bakal menidakkan hak sesebuah keluarga yang mempunyai pendapatan lebih sedikit daripada syarat tersebut. Bagaimana jika pendapatannya RM3,100? Adakah layak menerima bantuan ini?

Perincian syarat-syarat keluarga yang menerima bantuan ini akan menimbulkan pelbagai perbahasan lain, seperti; keluarga yang mempunyai lima orang anak yang bersekolah dan berpendapatan RM,3100 tentunya lebih layak menerima bantuan berbanding keluarga yang berpendapatan RM2,950 yang hanya menanggung seorang anak bersekolah. Jika syarat-syarat itu terlalu khusus dan ketat, maka makin ramailah rakyat yang tidak puas hati dengan dasar kerajaan tersebut.

Yang kedua, bakal penerima mestilah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Bagaimana pula nasib rakyat lain yang tidak berdaftar tetapi pendapatan isi rumah mereka di bawah RM3,000? Golongan yang ramai berada dalam kelompok ini tentulah rakyat luar bandar yang bekerja sendiri – apakah mereka ada menerima bantuan dalam bentuk lain? Amat malang jika akhirnya kelompok inilah yang paling malang kerana terpinggir dan dipinggir secara terhormat oleh pemerintah.

Sehingga kini, kelompok inilah yang sering diabaikan dalam setiap kali belanjawan dibentangkan. Mereka hanya mendengar jumlah peruntukan yang berbilion ringgit untuk rakyat luar bandar, hakikatnya pengumuman itu terbang dibawa angin dan lesap begitu sahaja – hampir setiap tahun. Janji-janji manis itu sekadar menyedapkan telinga dan pengharapan yang tidak pernah kunjung tiba. Rakyat luar bandar masih jauh ketinggalan dalam banyak aspek terutama dari segi pembangunan.

Yang ketiga, jumlah pemberian tersebut tidak memadai dengan peningkatan kos sara hidup masa kini. Pemberian itu sememangnya diterima dengan tangan dan hati yang terbuka. Hal ini kerana, wang tersebut datangnya daripada pelbagai jenis cukai. Realiti suasana kos hidup yang tinggi pada hari menjadikan jumlah tersebut sangat kecil nilainya.

Sudahlah penerima dikenakan syarat-syarat yang menyukarkan, jumlah tersebut kurang pula dengan nilai semasa. Pada masa yang sama pemberian tersebut tidak menyeluruh dan mungkin menyebabkan jurang antara rakyat dan kerajaan semakin menjauh.

Dalam hal ini, masih ada cara yang lebih mudah dan semua rakyat mendapat manfaatnya. Rakyat tidak perlu dikenakan apa-apa syarat dan kerajaan tidak perlu bersusah payah menggerakkan agensi di bawahnya untuk membuat kerja-kerja tambahan.

Yang rakyat keseluruhan mahu bukan sekadar pemberian tersebut, tetapi yang lebih penting ialah penurunan kos sara hidup. Jika kerajaan dapat menurunkan harga minyak dan gas ke tahap yang sewajarnya, maka segala kos barangan lain akan turut turun. Apabila semua nilai barangan dapat direndahkan, maka dengan sendirinya nilai pendapatan rakyat akan tinggi.

Tidak perlulah rakyat disogokkan dengan pemberian “wang ehsan” tersebut. Apabila kos hidup tidak tinggi, dengan pendapatan isi rumah RM3,000 rakyat mampu memiliki rumah teres, kenderaan, dan menanggung persekolahan anak-anak dan sebagainya.

Itu lebih baik daripada bersusah payah memperjuang gaji minimun. Hal ini kerana, perjuangan menuntut gaji minimum tidak akan habis-habis selagi kos sara hidup meningkat dan terus meningkat.

View the original article here

Categories: Politik Tags: , , ,

Agenda Islamik sukarkan BN rampas Kelantan

November 12, 2011 Leave a comment

“Berdasarkan perkembangan terkini, Umno memang serius untuk merampas Kelantan daripada PAS. Sejak 1990, PAS menang di Kelantan dan telah melalui ujian empat kali pilihan raya umum (PRU) iaitu 1995, 1999, 2004 dan 2008. Kesemuanya menyaksikan tindakan ‘kalut’ Umno ingin merampas Kelantan.”
Petikan itu adalah pemula bicara Wan Nik Wan Yussof lewat artikelnya ‘Umno agresif serang Kelantan’ yang termuat di tabloid Harakah, edisi Jumaat, 21 Oktober. Penulis adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS negeri.
Menerusi tulisan itu beliau membekalkan fakta tindakan Umno termasuk menggunakan berbagai taktik kotor sepanjang dua dekad parti itu berusaha menawan semula negeri tersebut. Contoh-contoh terkini seumpama taburan wang ehsan dan pembatalan projek lebuhraya Gua Musang-Kuala Krai-Kota Bharu memperkuatkan hakikat kebobrokan Umno yang menguasai kerajaan Pusat.
Sememangnya tekad Umno merampas pemerintahan negeri itu daripada PAS amat tinggi. Apatah lagi ia nyaris-nyaris merealisasikan hasrat itu lewat PRU 2004. Kelebihan tiga kerusi dimiliki PAS bertukar menjadi hanya satu kerusi selepas kekalahannya di Pengkalan Pasir seketika kemudian. Perbezaan hanya satu kerusi, bahkan salah satu kerusi dimenangi PAS itu hanya dengan dua undi, menyebabkan kegilaan Umno mengambil alih Kelantan semakin mencanak.
Keghairahan itu mendorong ia sampai ke peringkat sanggup melakukan siri ‘penderaan’ (meminjam istilah Wan Nik) terhadap rakyat Kelantan, kononnya agar mereka serik berkerajaankan PAS dan beralih arah memberi sokongan kepada Umno pula.
Usah dihitung kenyataan dan siaran yang memperlekeh perjalanan pemerintahan negeri. Gema-riuh kemiskinan rakyat Kelantan, kehidupan mereka yang didakwa sempit dan melarat beserta kegagalan kerajaan negeri menyediakan peluang kerja menjadi ratib yang bagaikan ‘nasi makan air minum’ buat segenap lapisan pendukung Umno.
Manakala persepsi dan andaian kononnya hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu membawa kemajuan dan pembangunan sekali gus membahagiakan kehidupan rakyat negeri itu turut menjadi bahan propaganda berterusan sejak dulu hingga kini.
Tidak cukup dengan segenap peringkat Umno di Kelantan, para pemimpin parti itu dari negeri-negeri lain ikut menokok-tambah cerita-cerita memburukkan negeri itu. Manakala para pemimpin Umno Pusat juga pantang ada kesempatan pasti dimanfaatkan semaksima mungkin untuk melontarkan serangan terhadap kerajaan dipimpin PAS itu.
Itulah gambaran betapa agresifnya Umno. Sebab itu agak pelik dan menghairankan apabila ditengah-tengah kegilaan itu ada menteri yang berkunjung ke Kelantan beberapa hari lalu menuturkan kenyataan yang boleh difahami sebagai memuji sesuatu mengenai kehidupan rakyat Kelantan. Apatah lagi perkara dipuji, bahkan cuba ditiru itu, ada hubungkait dengan agenda disemarakkan kerajaan PAS negeri.
Sebuah harian pada Selasa (18 Oktober) lalu memetik kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang berhasrat memperluaskan pengunaan tulisan jawi yang diamalkan di Kelantan ke negeri-negeri lain.
“Kementerian juga ingin melihat supaya penggunaan jawi seperti yang lumrah digunakan di Kelantan dapat digunakan di negeri-negeri lain dengan skrip dalam tulisan itu dijadikan tarikan,” akhbar itu memetik katanya.
Biar pun hasratnya yang khusus hanyalah bagi menjadikan tulisan jawi sebagai medium untuk mencatatkan kisah berkaitan budaya dan penceritaan secara lisan, hakikat penggunaan jawi dalam masyarakat Kelantan yang disebutnya itu mencakupi pelbagai sektor hidup yang jauh lebih luas.
Bahkan tidak sukar diakui betapa Kelantan di bawah PAS menjadi negeri paling ke depan dalam usaha mengetengahkan pengguna tulisan yang menjadi warisan bangsa itu dalam urusan seharian, termasuk urusan-urusan rasmi kerajaan.
Sebermula pemerintahan PAS pada 1990, difahamkan minit mesyuarat Exco negeri itu telah diubah daripada menggunakan tulisan rumi kepada jawi. Apakah ada negeri-negeri lain, terutama yang diterajui Umno yang turut mengambil langkah serupa?
Selain itu papan tanda jalan juga disertakan tulisan jawi bersama-sama tulisan rumi. Langkah itu disusuli peraturan mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda premis perniagaan, papan iklan dan kain pemidang.
Bermula pertengahan 2009 lalu pula, Kelantan mara setapak lagi dalam memartabatkan tulisan jawi. Semua urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu diarah menggunakan tulisan jawi. Ia termasuklah penyediaan minit mesyuarat kesemua PBT.
Tidak syak lagi keprihatinan luar biasa kerajaan negeri di bawah PAS terhadap penggunaan tulisan jawi menjadi pendorong utama menyemarakkan lagi penggunaannya secara lebih meluas dalam masyarakat.
Hakikat letak duduk tulisan jawi yang bersebati dengan masyarakat Kelantan itulah yang barangkali menyentuh hati Rais sehingga mendorong beliau mencadangkan agar kelaziman itu diperluaskan pula ke negeri-negeri lain.
Diakui atau tidak, cadangan menteri itu sebenarnya suatu pengiktirafan terhadap kelebihan dimiliki Kelantan di bawah PAS berbanding negeri-negeri lain, khususnya yang dikuasai Umno sejak berdekad. Justeru, bagaimana mungkin khalayak pencinta warisan budaya bangsa, khususnya yang tegar memperjuangkan penggunaan tulisan jawi secara serius akan memberikan kepercayaan kepada Umno untuk menggantikan PAS?
Apatah lagi keprihatinan PAS itu turut dikaitkan dengan agenda mendaulatkan Islam dalam pemerintahannya. Semua tahu tulisan jawi adalah variasi dan derivasi tulisan Arab yang juga tulisan kitab suci al-Quran.
Ia juga dikira bersebati dengan tradisi ilmu Islam, terutama apabila ratusan kitab lama yang masih digunakan secara meluas di pusat-pusat pengajian Islam ditulis menggunakan tulisan itu. Dari perspektif itu, usaha PAS memartabatkan jawi adalah sealiran dengan hasrat menyemarakkan ilmu Islam dalam masyarakat.
Justeru, apakah wajar ada penganjur pengajian Islam dan pencinta ilmu agama tidak menyokong langkah kerajaan PAS Kelantan dalam hal ini? Bagaimana mungkin pula mereka akan memilih Umno untuk mengambil alih pemerintahan?
Kebetulan pula beberapa hari lalu berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan. Di dalamnya banyak diserlahkan keprihatinan dan keseriusan kerajaan negeri mendaulatkan Islam dalam kehidupan rakyatnya.
Antara perkara agak menarik diperkatakan dan turut mendapat perhatian media arus perdana ialah arahan terbaru kerajaan negeri mengenai kemakmuran surau di pusat-pusat beli-belah. Dewan dimaklumkan bahawa kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) telah mengeluarkan arahan kepada semua pusat beli-belah dan pasar raya supaya menyediakan imam untuk mengetuai solat di surau premis masing-masing.
Arahan itu sekali gus menggambarkan keseriusan PAS memastikan rakyat melaksanakan ibadat, khususnya solat dalam keadaan paling baik, yakni secara berjamaah. Di mana komitmen para pemimpin PAS dalam hal ini tidak wajar dipertikaikan lagi. Sebagai pemimpin Islam yang bercakap mahu menegakkan Islam, mereka bukan setakat mendirikan Islam dalam diri mereka sahaja, tetapi turut menjadi pendorong orang dipimpinnya menjadi hamba yang taat kepada suruhan agama.
Ia menepati firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 41, yang secara jelas memperincikan sifat pemimpin Islam iaitu apabila mereka diberikan kekuasaan oleh Allah di atas mukabumi, mereka akan mengutamakan urusan mendirikan solat. Kepatuhan itu sekaligus menjadi contoh buat rakyat mengikuti mereka pula.
Ertinya, pemimpin Islam perlu sentiasa ke hadapan di dalam mengajak dan menggalakkan rakyat untuk sama-sama menghayati perintah Allah, terutama dalam menyempurnakan solat. Itulah yang terbukti diusahakan kerajaan PAS.
Malangnya, hari ini para pemimpin Umno lebih ghairah mengajak rakyat ke pesta hiburan dan majlis suka-ria. Bahkan ada pula pemimpin yang sanggup mengiklankan ke seluruh alam maya mengajak rakyat untuk meluangkan masa bersama-samanya menonton siaran langsung perlawanan bolasepak melibatkan pasukan luar negara yang diminatinya. Astaghfirullah al-Azim!
Arahan memastikan surau pusat beli-belah dimakmurkan dengan solat jamaah itu juga bagai menempelak beberapa negeri diperintah Umno. Manakan tidak apabila kerap dilaporkan media bagaimana ada negeri yang hingga kini gagal menyelesaikan masalah kekurangan imam dan bilal di seluruh negeri.
Jangan dikatakan untuk memastikan surau persendirian di premis perniagaan sebegitu disediakan imam bertugas, kegagalan dihadapi negeri-negeri diperintah Umno malah melibatkan masjid-masjid mukim dan masjid daerah. Apa yang berlaku di Terengganu adalah contoh yang amat ketara.
Kebanyakan masjid di negeri itu memang tidak cukup imam dan bilal. Bahkan ada masjid yang terpaksa menggunakan “khidmat” tv untuk melaungkan azan tatkala masuk waktu solat. Itulah yang dilaporkan berlaku di salah sebuah masjid jamek di Kemaman, awal tahun ini.
Beberapa perkara disebutkan di atas hanyalah contoh siri agenda Islamik yang dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan. Sama ada dalam isu tulisan jawi mahu pun arahan memakmurkan surau, hakikat bersebati di sebalik isu-isu tersebut sebenarnya menyerlahkan perbezaan amat ketara antara halatuju dan keprihatinan pemerintahan PAS berhubung hal ehwal Islam berbanding Umno.
Sepertimana ditekankan Wan Nik lewat tulisannya tadi, pemerintahan PAS selama 21 tahun di Kelantan boleh dianggap bukti bernyawa bahawa parti itu “adalah satu-satunya parti Islam yang memperjuangkan dasar politik dan pentadbiran Islam serta luhur di atas landasan perjuangan Rasulullah s.a.w.”
Justeru, jika pun Umno Kelantan tampil dengan Gelombang Merah yang ikut disertai taburan wang ehsan dan berbagai umpan kebendaan lain, semuanya itu insya Allah menjadi kecil dan tidak mampu menandingi nikmat berpayung  di bawah pemerintahan Islam di terajui PAS. Selagi rakyat Kelantan berpegang kepada dasar dan fahaman sedemikian, maka pada adat katanya payah lah sikit Umno nak merampas semula negeri itu daripada PAS!

View the original article here

Categories: Politik Tags: , , , ,

Malapetaka bagi negara Ini

November 12, 2011 Leave a comment

Semasa berita penggantungan Prof Aziz Bari tersebar, wartawan menghubungi saya dan meminta komen. Saya mengatakan dalam bahasa yang mudah “ia adalah malapetaka bagi negara ini” dalam sesebuah negara perkembangan intelektual menjadi antara tunggak utama dalam membentuk negara yang bermaruah dan bertamadun. Apabila golongan intelektual dinafikan hak mereka untuk memberi pandangan dalam bidang kepakaran mereka, kepada siapakah lagi yang kita harapkan untuk dirujuk? Pepatah Arab ada mengatakan: “Orang yang tiada tak akan dapat memberikan apa-apa” Walaupun bukanlah Prof Azizi Barri satu-satunya pakar di negara ini tetapi dengan mengenakan tindakan penggantungan, pihak Universiti tidak mengirimkan isyarat yang betul kepada perkembangan intelektual di negara kita.

Usaha-usaha kerajaan BN hari ini tidak konsisten dalam membuat transformasi dan kebebasan bersuara, walaupun digembar-gemburkan bahawa negara kita akan menuju kepada era Transformasi tetapi kes Prof Aziz Barri telah menggagalkan usaha-usaha ini khususnya dalam membentuk budaya kebebasan intelektual yang menjadi pra-syarat kepada kemajuan sesebuah negara. Setiap kita berhak untuk mempersoalkan tindakan yang dikenakan ke atas Profesor yang pakar dalam  bidang perlembagaan itu. Selagi seseorang itu bergelar ilmuan dan pakar ia bukan lagi masalah universiti, ia adalah juga masalah masyarakat yang menumpang keupayaan intelek mereka dan keilmuan mereka. Apatah lagi Prof. Aziz Barri adalah tokoh yang banyak mempunyai pengaruh dalam menyedarkan masyarakat isu-isu keperlembagaan yang menjadi dokumen resmi seluruh rakyat Malaysia. Apakah tanggapan orang ramai, jikalau seorang pakar diambil tindakan hanya kerana pandangan kepakarannya?

Kejayaan mana-mana universiti bukan sahaja terletak kepada kejayaan penyelidikan tetapi kebebasan intelektual adalah asas yang menjamin usaha-usaha penyelidikan dan inovasi berterusan. Dengan penggangtungan Prof Aziz Barri oleh pentadbiran UIA satu isyarat telah terbentuk dalam benak orang ramai bahawa kebebasan intelektual tidaklah sebenarnya bebas. Ia juga seolah-olah satu ancaman kepada masyarakat intelektual di menara gading bahawa mereka harus berhati-hati dalam menyuarakan pandangan mereka jikalau tidak mereka akan dikenakan hukuman. Keadaan ini tidak membantu perkembangan intelek yang sifatnya adalah bebas kongkongan dan berlegar di sekitar kepakaran masing-masing. Dengan kes awalan di UIA tentang kebebasan intelek, masyarakat intelek kini hidup dalam keadaan ketakutan untuk memberi pandangan seolah-olah mereka diperhatikan untuk berfikir!

Universiti seharusnya bebas dari kongkongan politik dan isu politik, walaupun isu penggantungan Prof Aziz Barri adalah di bawah kuasa pihak Universiti Islam namun isu dan pandangan yang diberikan oleh Prof Aziz Barri kemungkinan ditafsirkan sebagai menyinggung pihak tertentu. Saya tidak menuduh, tetapi jikalau UIA membuat keputusan kerana tunduk kepada tekanan pihak tertentu, ini adalah sesuatu yang amat malang kepada kepada pentadbiran universiti dalam membuat keputusan.

Saya menrima banyak aduan dalam Facebook yang diposkan kepada saya tentang nasib mereka yang di bawah seliaan Prof Aziz Barri di tahap post graduate. Mereka tidak tahu apa nasib mereka debgan penggantungan ini kerana ramai yang akan tergantung dengan penggantungan Prof ini. Keputusan UIA nampaknya tidak konsisten, setelah tekanan dibuat oleh pelajar pada hari Jumaat lalu dan setelah menerima feedback masyarakat di luar universiti, pihak pentadbiran seolah-olah cuba melembutkan keadaan bahawa ia bukan penggantungan, ia hanya surat tunjuk sebab. Walhal surat yang diterima menurut Prof Aziz Barri ialah menghalang Prof ini dari masuk ke kawasan Universiti melainkan denan izin universiti! Malangnya Prof kini menjadi orang buangan di tempat yang dia sendiri menjadi pendidik di dalamnya.

Ali Parlimen Kubang Kerian telah membawa usul tergempar untuk dibahaskan dalam Parlimen isu penggantungan Dr Azizi Barri, malangnya usul ini ditolak dalam kamar Speaker lagi. Saya, Yb Kuala Selangor dan Kubang Kerian mengadakan sidang akhbar pagi ini menyatakan kekesalan kami kepada apa yang berlaku ke atas Prof Aziz Barri, kami bersetuju bahawa kes Dr Aziz Barri adalah sejarah hitam kepada perkembangan intelektual di negara kita. Apabila golongan ilmuan dikenakan sekatan untuk memberikan pandangan mereka pastinya kebangkitan untuk perubahan regim semakin mendapat momentum. Ada hadis menyatakan : “Allah tidak akan menghancurkan sesuatu bangsa itu sehinggalah hilang orang yang ilmuan di kalangan mereka” Menyekat kebebasan intelektual adalah prose penghakisan golongan ilmuan.


**Dr Mujahid Yusof Rawa adalah AJK PAS Pusat serta Ahli Parlimen Parit Buntar

View the original article here

Categories: Politik Tags: ,

Liwat isteri jenayah takzir

November 12, 2011 Leave a comment

Menurut al-Imam al-Syarbini iaitu seorang tokoh Mazhab Syafie: “Adapun menyetubuhi isterinya atau hambanya pada dubur (liwat) maka pendapat Mazhab ialah wajib dita’zir sekiranya berulang. Sekiranya tidak berulang maka tidak dikenakan ta’zir.” (Rujuk Mughni al-Muhtaj, Juz 16, hlm. 356-357.)

Malah, Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai Hukuman Hudud tetapi Hukuman Ta’zir meskipun ianya haram berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai hukuman Hudud. Al-San’ani iaitu salah seorang tokoh ulama mazhab Hanafi menyebut dalam Bada’i al- Sana’i :

“dan demikianlah persetubuhan pada dubur lelaki atau perempuan tidak mewajibkan Hudud di sisi Abu Hanifah meskipun ianya adalah haram kerana persetubuhan tidak berlaku pada kemaluan depan, maka ia bukannya zina. Manakala di sisi kedua-duanya –Imam Muhammad dan Imam Hasan ( dua tokoh besar mazhab Hanafi) dan juga di sisi Imam Syafie perbuatan itu mewajibkan hukuman hudud.” (Bada’I al-Sana’i`, Juz 15, hlm 24). Ini kerana pada pendapat Imam Abu Hanifah zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al-Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.”

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 telah mengambil pendapat Imam Syafie dan Mazhab Syafie dalam mengkategorikan jenayah liwat sebagai Hukuman Hudud dan tidak menkategorikan liwat isteri sebagai Hukuman Hudud.

Hukuman jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga. iaitu Hukuman Hudud, Hukuman Qisas dan Hukuman Ta’zir. Kesalahan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori Hudud dan Qisas dimasukkan dalam kategori Ta’zir. Kadar Hukuman Hudud telah ditetapkan oleh Allah antaranya zina yang mesti disebat atau dibuang negeri. atau direjam Kadar Hukuman Ta’zir pula boleh diijtihad oleh para ulama dan pemerintah berdasarkan beberapa peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 adalah Enakmen untuk memperuntukkan dua jenis jenayah dalam Islam, iaitu Hukuman Hudud dan Hukuman Qisas sahaja. Adapun Hukuman Ta’zir tidak dihuraikan terperinci oleh Enakmen ini. Apa-apa kesalahan jenayah Islam yang tidak disebut dalam Enakmen ini secara automatic termasuk dalam kategori jenayah Ta’zir yang hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.

Hal ini disebut dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis Kesalahan, ceraian (c) “kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan-kesalahan Hudud dan kesalahan-kesalahan Qisas, tetapi hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.” (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian 1, Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan. (www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/)

Begitu juga Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran menetapkan: (1) semua kesalahan-kesalahan dalam Enakmen ini dan peruntukan-peruntukan mengenainya hendaklah ditafsirkan mengikut Hukum Syara‘; dan rujukan kepada hukum itu, hendaklah dibuat mengenai apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan dalam Enakmen ini.“ (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian XI, Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/)

Seksyen 14 Enakmen tersebut yang dirujuk oleh salah seorang ahli parlimen hari ini menetapkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur“. (Rujuk Seksyen 14. Liwat, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/ )

Seksyen 14 dengan tajuk Liwat ini menjelaskan takrifan jenayah Liwat yang dikenakan Hukuman Hudud. Menurut seksyen ini, jenayah Liwat yang akan dikenakan Hukuman Hudud tidak merangkumi keadaan di mana isteri diliwat oleh suami.

Persoalannya, bagaimana pula dengan isteri yang diliwat oleh suami? Apa hukumannya? Adakah ianya halal? Jawapannya ialah meliwat isteri adalah haram dengan sepakat ulama. Ia adalah perlakuan jenayah yang termasuk kategori Hukuman Ta’zir bukannya Hukuman Hudud. Apabila hukuman bagi jenayah Liwat Isteri nya tidak disebut dalam Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, maka ia termasuk dalam kategori Ta’zir sebagaimana penjelasan dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan dan juga dirujuk kepada Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran.

Amat malang sekali apabila ada ahli parlimen yang berstatus peguam telah gagal memahami dengan tepat peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M sehingga membuat kesimpulan kefahaman yang boleh memberikan kefahaman negatif kepada masyarakat seolah jenayah Liwat Isteri adalah dibenarkan dan dibolehkan.

Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir. Untuk maklumat lebih lanjut tentang Hukuman Jenayah Islam, Ulama sepakat bahawa zina termasuk kategori Hukuman Hudud yang telah ditetapkan hukumannya. Namun, mereka berbeza pendapat adakah liwat termasuk kategori Hukuman Hudud atau Ta’zir? Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai hukuman hudud meskipun haram kerana pada pendapat beliau, zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al- Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.” Hal ini berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai Hukuman Hudud.

Perbezaan pendapat di kalangan ulama besar ini dalam beberapa perkara cabang melibatkan hukum hudud, qisas dan ta’zir menggambarkan keluasan fiqh Islam. Ia memberi ruang untuk setiap pemerintah mengambil pendapat dan pandangan yang lebih bermaslahat pada zamannya untuk dijadikan sebagai perundangan Negara atau negeri yang akan dilaksanakan.

Antara contoh perbezaan pendapat ulama lagi dalam kes Hudud dan Ta’zir ini ialah melibatkan Hukuman Zina. Hukuman Hudud Zina tidak dikenakan kepada Kafir Harbi yang diberi keamanan di negeri Islam apabila berzina dengan wanita Islam menurut Mazhab Hanafi berbeza dengan pendapat Abu Yusof iaitu salah seorang tokoh mazhab Hanafi. Begitu juga menurut Abu Hanifah menyetubuhi wanita mati walaupun pada kemaluan depan, dan menyetubuhi binatang tidak dikategorikan zina meskipun ianya adalah haram. Maka ia tidak termasuk dalam hukuman hudud tetapi termasuk dalam ta’zir. Begitu juga Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan persetubuhan dengan mahram yang dinikahi sebagai Hukuman Hudud tetapi dikategorikan Ta’zir, berbeza dengan Imam Syafie yang menjadikannya sebagai Hukuman Hudud.

Kesimpulannya, tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir.

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat

Artikel di atas adalah respons kepada kejahilan sesetengah pihak tertentu terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas).

View the original article here

Categories: Politik Tags: , , ,

Gaya mewah Rosmah disenangi Umno

November 12, 2011 Leave a comment

Di kalangan Umno sendiri, mungkin ada yang terkejut dengan gaya mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Tak kurang juga yang seronok melihat gelagat wanita nombor satu Malaysia itu bergaya. Umumnya, tidak siapa tahu daripada mana punca kewangannya untuk beliau berbelanja mewah.

Rosmah tentunya tidak sama dengan Tun Hasmah Mohd Ali atau pun Tun Jane Abdullah yang sebelum ini juga menjadi isteri kepada Perdana Menteri. Mereka tidaklah kontroversi, teruk dan buruk perangai apatah lagi boros dengan gaya hidup melampau.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nazri Aziz hanya mengkelukan lidah daripada menjawab pertanyaan Pakatan Rakyat tentang gaya hidup mewah Rosmah di dalam Parlimen.

Soalan bertulis dari Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching berkenaan pemilikan beg tangan jenama Birkin oleh Rosmah, diperap Nazri tanpa ada jawapan balas. Nazri enggan mengulas. Pada hemat saya, jika ada di lobi Parlimen, wartawan-wartawan ‘nakal’ bertanyakan hal itu dengan mana-mana menteri, atau ahli yang berhormat daripada BN, saya yakin ia tidak akan dijawab mereka.

Macam-macam alasan akan diberikan. Ini kerana mengulas hal-hal membabitkan Rosmah, ibarat mengisi pasir ke dalam periuk nasi mereka. Teo Nie Ching dan rakyat menyoal samada benar atau tidak Rosmah memiliki cincin berlian RM24.4 juta dan juga beberapa beg tangan yang berjenama, dengan harga terlalu mahal. Nazri dilihat mengelak untuk menjawab isu beg tangan mahal itu.

Tentunya dia bimbang, jika tersalah jawab, akan membinasakan dirinya. Maka lebih baik Nazri “buat-buat tak tahu” daripada menunjukkan hakikat sebenar yang “dia tahu”. Sesiapa yang berada di tempat Nazri di dalam Umno-BN, pasti mengambil sikap yang serupa.

Namun, saya kurang pasti jika perkara ini berani diulas oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah yang dilihat berani, telus dan profesional dalam kerjaya politiknya. Jika ada wartawan yang berminat, boleh cuba-cuba ajukan soalan gaya hidup mewah Rosmah kepada beliau. Apa reaksi Saifuddin?  

Gelagat Rosmah mengenakan beg tangan Birkin di khalayak mula diperhati. Barangan perhiasan yang dipakai akan diteliti dari jauh, dilihat dengan serius oleh rakyat. Bukan sekali dua, kini sudah menjadi trend sedondon dengan pakaiannya. Beg tangan Birkin ini berbeza-beza warna mengikut pakaian yang beliau sarung.

Berdasarkan gambar-gambar kreatif yang dibekalkan oleh ‘netizens’, jumlah beg tangan Birkin ini bukannya satu atau dua tetapi mencecah 11 buah yang berlainan. Ia digunakan Rosmah dalam majlis-majlis rasmi dan sewaktu bercuti.

Beg tangan edisi terhad yang dipakai Rosmah boleh mencecah harga sebuah beg RM28,000 (US$9,000) sehingga RM472,000 (US$150,000). Jenama beg tangan ini dinamakan sempena nama pelakon dan penyanyi tersohor Britain, Jane Birkin.

Ia dihasilkan oleh Hermes sejak tahun 1984 dan ia adalah lambang gaya mewah yang eksklusif dan hanya mampu dimiliki oleh golongan tertentu yang kaya raya secara luar biasa.

Jika beg tangan paling murah yang berharga RM28,000 dibeli Rosmah utnuk bergaya, ini bermakna 11 beg X RM28,000 telah mencecah angka RM308,000. Adakah watak seperti Rosmah akan memilih beg yang berharga RM28,000?

Andainya, kesemua 11 beg itu dibeli pada harga RM472,000, maka sudah tentulah nilaiannya jauh lebih besar mencecah RM5,192,000. Tidak mungkin Rosmah membeli semua beg pada kadar harga itu. Barangkali ada beberapa beg sahaja yang dibeli dengan harga RM472,000. Dan ada beg yang dibeli pada harga RM28,000.

Tetapi, berdasarkan keghairahannya untuk memiliki yang tercantik dan termahal, tidak mustahil Rosmah boleh membeli kesemua 11 beg Birkin pada harga RM472,000. Ini dibuktikan dengan “rahsia umum” dalam isu yang dikatakan Rosmah membeli seketul cincin permata yang mencecah harga sebuah sekolah RM24.458,400.

Apapun penafian Rosmah, dengan pelbagai jalan cerita diubah, namun hubungan akrab keghairahan isteri Najib Tun Razak itu dengan barangan mewah, cantik, unggul dan mahal membantu rakyat untuk menilai apakah benar atau tidak, cincin permata berkenaan bukan dibeli oleh Rosmah.

Julai lalu, jika orang Melayu masih tidak lupa, Badrul Hisham Saharin atau Cikgu Bard yang menjadi Pengerusi PKR Cabang Rembau, mendakwa cincin permata ‘Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond’ yang berharga RM24,458,400 telah diterbangkan ke negara ini melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang pada 13 Julai, mendakwa cincin tersebut dibeli oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Dakwaannya jelas dan terang. Sebab itu beliau membuat laporan kepada SPRM agar menyiasat perkara tersebut.

Cikgu Bard mempunyai salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta itu bebas daripada dikenakan cukai import.

Namun begitu, setelah khabar angin bertiup kencang tentang pembelian cincin permata bernilai RM24 juta itu, Rosmah akhirnya bersuara dan menyifatkannya sebagai satu fitnah dan tidak ada masa mahu melayannya. Itulah hujah dan alasan Rosmah ketika menjawab soalan pemberita. Mudah dan selamba.

Soalnya, apakah Najib Tun Razak akan bakal menjadi Marcos tidak lama lagi? Ingatkah kita dengan sejarah Imelda Marcos, wanita nombor satu Filipina. Satu ketika dahulu, Filipina yang sama tarafnya dengan kebanyakan negara rantau ini termasuk Malaysia, khusus dalam bidang ekonomi akhirnya musnah ranap.

Filipina hancur kerana rasuah yang gagal dibendung. Keadaan makin parah, dan hancur kerana wujudnya wanita pertama dalam negara itu yang rakus seperti Imelda, dan akhirnya Filipina seperti tak upaya lagi nak bangkit sehingga kini. Rasuah bermaharajalela dalam semua sektor, telah melumpuhkan ekonomi negara berkenaan.

Ketika rakyat hidup ‘melarat’ Imelda berbelanja mewah. Namun apabila rakyat bangkit, marah dan berang, Imelda dan suaminya terpaksa hidup dalam buangan. Mungkinkah gaya mewah Rosmah boleh dijadikan senjata untuk menikam Umno-BN daripada dalam?

Atau rakyat terus “buat-buat tak tahu” dengan feel hodoh Rosmah dan terus mengukuhkan “kebobrokkan” beliau dengan mengundi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi?

View the original article here

Categories: Politik Tags: , ,

Kg Baru: Gelojohnya kerajaan gadai tanah orang Melayu

November 12, 2011 Leave a comment

Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (RUU PPKB 2011) baru sahaja diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2011 yang lepas. RUU PPKB 2011 ini perlu melalui proses perundangan biasa iaitu perlu dibahaskan di Dewan Negara yang akan bersidang sesudah Dewan Rakyat selesai bersidang pada Disember 2011 nanti. Apabila dibahaskan di Dewan Negara dan jika diluluskan, RUU PPKB 2011 tersebut perlu dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan Baginda. Setelah diperkenankan Ke Bawah Duli Tuanku, maka barulah Kerajaan boleh mewartakan penguatkuasaan RUU PPKB 2011 menjadi Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011.

Demikianlah prosedur sesuatu Rang Undang-Undang menjadi Akta yang akan mempunyai kuasa di bawah undang-undang. Selagi tidak diluluskan dan tidak diwartakan, sesuatu Akta tidak mempunyai apa-apa kuasa penguatkuasaan. MALANGnya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) nampaknya tidak mempedulikan semua prosedur ini lantaran kegelojohan mereka ingin menjarah tanah Kampong Bharu milik orang-orang Melayu yang dijamin oleh Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950 (Malay Agricultural Settlement Enactment 1950).

Pada 19 Oktober 2011, KWPKB telah mengadakan suatu perjumpaan tertutup di antara KWPKB dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang kononnya mempunyai kepentingan di Kampong Bharu dan juga Lembaga Pentadbir Kampong Bharu (Lembaga MAS) serta Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) yang terlibat secara langsung dalam pembangunan Kampong Bharu. Perjumpaan tertutup tersebut diadakan di Aras 7 Kementerian Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pada sidang media selepas perjumpaan tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan bangganya memaklumkan bahawa KWPKB akan menubuhkan suatu pasukan interim dengan peruntukkan geran sebanyak RM15 juta bagi memulakan kerja-kerja awal pembangunan Kampong Bharu. Beliau dilaporkan berkata “Justeru tak kan kita nak tunggu selesai baru nak bangunkan kawasan itu”.

Kegelojohan amat ketara di pihak Menteri yang tidak sabar-sabar hendak masuk ke Kampong Bharu meneroka tanah orang Melayu sedangkan pemilik dan pewaris tanah masih belum mendapat maklumat pembangunan bagaimana akan dilakukan oleh Kerajaan. Malah pemilik dan pewaris juga tiada pengetahuan tentang cadangan ini. Kementerian hanya mengambil pandangan NGO-NGO yang disebutkan terdahulu iaitu PAKAM (Persatuan Anak-Anak Kampong Bharu) dan PPKB (Persatuan Permbangunan Kampong Bharu) yang kedua-duanya tiada sebarang lokus untuk mewakili pemilik dan pewaris tanah. Siapa NGO-NGO ini yang beriya-iya benar hendak membangunkan tanah Kampong Bharu sedangkan selama ini mereka hanya ibarat “hidup segan mati tak mahu”? Mereka hanya muncul apabila cadangan pembangunan ini disebut-sebut oleh Menteri. Ada udang di sebalik batu kah mereka ini?

KWPKB, walau pun sedar RUU PPKB 2011 masih belum diluluskan oleh Dewan Negara dan masih belum dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Yang DiPertuan Agong untuk diperkenan malah lebih jauh lagi masih belum diwartakan, begitu gelojoh telah menimbang-nimbang melantik suatu pasukan interim dengan peruntukkan kewangan sebanyak RM15 juta bagi kerja-kerja awal. Sekali lagi jelas begitu gelojohnya mereka. Rang Undang-undang belum pun diluluskan, mereka sudah berkira-kira untuk meneroka tanah orang Kampong Bharu.

Peruntukkan geran RM15 juta tersebut juga menimbulkan persoalan. Bagaimana peruntukkan geran tersebut dibuat? Peruntukkan RM15 juta tersebut disalurkan kepada siapa? Pasukan interim yang dimaksudkan belum ditubuhkan tetapi dimaklumkan bahawa sebanyak RM9 juta daripada peruntukkan tersebut telah digunakan. Bagaimana peruntukkan tersebut digunakan? Siapa yang membelanjakan RM9 juta peruntukkan tersebut? Adakah Kementerian atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau NGO-NGO tersebut? Jika peruntukkan RM9 juta telah digunakan sebelum pembentukkan pasukan interim dan pembentukan Perbadanan, maka kenapa perlu disebutkan?

Pengumuman penubuhan suatu pasukan interim ini juga dengan jelas menunjukkan bahawa KWPKB telah mendahului Parlimen dan Yang Dipertuan Agong. Bagaimana boleh ditubuhkan dan diwujudkan suatu pasukan bagi menjalankan sesuatu tugasan dengan peruntukkan kewangan sedangkan Akta yang mengawal Perbadanan yang dimaksudkan masih belum diluluskan? Adakah ini cara Kerajaan mentadbir negara? Perundangan masih belum diluluskan dan belum dikuatkuasakan tetapi peruntukkan telah dibuat malah telah pun dibelanjakan? Ini jelas suatu tindakan menghina institusi Parlimen dan institusi Istana malah suatu tindakan yang melanggar perundangan negara.

Menteri juga menyatakan bahawa pihak Kementeriannya sedang dalam perbincangan bersama NGO-NGO dan GLC-GLC berkaitan tentang bentuk pembangunan yang akan dilakukan di Kampong Bharu. Sekali lagi jelas menunjukkan bahawa hak pemilik dan pewaris tanah tidak diambilkira malah diketepikan begitu sahaja. Pembangunan Kampong Bharu hanya mengambilkira pandangan NGO dan GLC sedangkan mereka ini tiada apa-apa kepentingan langsung berbanding pemilik dan pewaris tanah. Adakah pemilik dan pewaris tanah dilibatkan di dalam perbincangan pembangunan? SILA AMBIL PERHATIAN bahawa tanah yang hendak dibangunkan itu adalah milik pemilik dan pewaris tanah, bukannya milik NGO atau GLC. Bagaimana jaminan yang diberikan Menteri sebelum ini bahawa hak pemilik dan pewaris tanah diambilkira sedangkan pandangan hanya diambil daripada NGO dan GLC? Sekali lagi nyata dan terang bahawa semua jaminan yang disebutkan sebelum ini hanyalah omong kosong sahaja.

Kenapa begitu gopoh dan gelojoh hendak membangunkan tanah Kampong Bharu sehingga pemilik dan pewaris tanah tidak diberikan maklumat terperinci tentang Rang Undang-undang dan bentuk pembangunan yang hendak dilaksanakan? Pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu seharusnya sedar dan membuka mata dengan tindakan gelojoh dan gopoh pihak-pihak ini. Jangan biarkan tanah milik orang Melayu dan harga diri orang Melayu diperkudakan pihak-pihak tertentu yang hanya memikirkan keuntungan mereka semata-mata tanpa memikirkan kelangsungan hidup dan maruah bangsa.

Penulis adalah Penasihat Undang-Undang Sekretariat Pembangunan Kampung Baru.

View the original article here

Categories: Politik Tags: , , , , ,

Nilai aset air Selangor RM12 bilion

November 12, 2011 Leave a comment

Setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmahnya tersendiri. Begitulah juga dengan isu air yang hangat diperkatakan sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Apatah lagi kebanyakan dari yang cuba memberi komen, saranan dan ugutan tidak mempunyai sebarang kredibiliti dan pengetahuan dalam isu air ini. Dalam pada kita kesal kerana kepincangan yang telah didedahkan dalam pengurusan air di negeri Selangor ini dipandang ringan oleh Kerajaan Persekutuan, namun kita bersyukur akhirnya seluruh rakyat memahami isu sebenar, punca dan akibat daripadanya.

Izinkan saya mengambil sedikit masa menerangkan isu ini dengan lebih mendalam. Penswastaan industri air di Selangor bermula pada tahun 1994 dengan operasi rawatan oleh Puncak Niaga, diikuti oleh SPLASH, ABASS dan akhirnya SYABAS pada Disember 2004, hanya memberi lebih manfaat kepada syarikat konsesi berbanding rakyat negeri Selangor. Selepas kelemahan operasi SYABAS didedahkan dalam Laporan Audit Negara pada tahun 2008, satu notis telah dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberitahu penamatan konsesi SYABAS. Namun ia tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan.

Sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha membolehkan penstrukturan industri air dibuat untuk manfaat rakyat negeri ini.

Sejak itu dan sehingga Januari tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat tiga tawaran untuk mengambil alih dan menstrukturkan semula industri air di Selangor dan ia telah diterima oleh ABASS dan SPLASH. Puncak Niaga dan juga SYABAS kekal menolak tawaran ini. Meskipun terdapat kelemahan dalam pengurusan SYABAS, misalnya dalam pelaburan penukaran paip, kenaikan tarif air yang tentunya boleh menambah beban rakyat Selangor cuba diusulkan. Jika kita mengambil kira kadar kenaikan tarif air pada tahun 2009 dan 2012, setiap isi rumah di Selangor akan berdepan dengan kenaikan bil air sehingga 71% berbanding kadarnya pada tahun 2008 sekiranya Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan cadangan kadar kenaikan tarif tersebut.

Kini, rakyat cuba dimomokkan pula dengan kemungkinan Selangor menghadapi masalah air menjelang tahun 2014. Kerajaan Negeri Selangor memandang serius perkara ini kerana sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, nasihat oleh pakar industri air telah diambil. Berdasarkan unjuran pertumbuhan penduduk, jumlah penggunaan air dan kapasiti pengeluaran air, bekalan air yang ada mampu menampung keperluan seluruh Lembah Klang adalah sehingga 2019. Momokan kepada rakyat untuk mendesak Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan Projek Penyaluran Air Mentah adalah keterlaluan dan tidak bertanggungjawab kerana kajian berkaitan sumber lain serta pengurangan kadar air tanpa hasil (non-revenue water) tidak dilakukan.

Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak hakikat bahawa Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor boleh memberikan tambahan kepada bekalan air yang diperlukan, namun biarlah ia dibuat dengan lebih teliti agar ia dapat dilaksanakan dengan baik dan telus. Tuntutan Kerajaan Negeri Selangor dalam hal pengurusan dan bekalan air yang tidak memuaskan oleh SYABAS dan Puncak Niaga mesti turut diambil kira.

Malangnya kerajaan Persekutuan nampaknya lebih sanggup membela kroni perniagaan berbanding rakyat Selangor. Namun ia tidak mematahkan semangat kita untuk terus menjaga kepentingan rakyat Selangor. Kerajaan Negeri telah melantik Juru Perunding Kejuruteraan; Tetuan Erinco Sdn Bhd untuk melakukan carian, semakan dan penandaan ke atas semua asset air Selangor dan seterusnya melakukan nilaian terhadap aset-aset tersebut. Harus diingat, aset-aset negeri ini telah digunakan secara percuma oleh kroni yang mendapat konsesi air sedangkan rakyat pula yang dibebankan dengan caj yang tinggi.

Pada Jun 2011 maka selesai penilaian yang dilakukan oleh firma tersebut dan nilai asset air rakyat Selangor berjumlah RM12,000 ( Dua Belas Ribu ) juta. Inilah yang saya maksudkan sebentar tadi bahawa setiap perkara yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya. Pertarungan antara rakyat Selangor, Syarikat Konsesi Kroni dan Kerajaan Persekutuan akhirnya telah memberi kita makluman bahawa rakyat Selangor mempunyai harta air berjumlah RM12 ribu juta. Harta yang selama ini tidak dipedulikan kerajaan terdahulu dan sewenang-wenangnya digunakan oleh syarikat kroni ini adalah milik rakyat Selangor.

Nilai aset air negeri ternyata jauh lebih tinggi daripada aset air pemegang konsesi. Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu sebagai satu pendekatan memulangkan hasil negeri untuk rakyat. Ini bererti jika setiap isi rumah menggunakan 20 meter padu atau lebih setiap bulan, Kerajaan Negeri Selangor membayar sebanyak RM11.40 sebulan atau RM136.80 setahun untuk mereka. Pemberian ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan bagi isi rumah, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

Meskipun kita telah membuktikan rakyat Selangor mempunyai lebih hak terhadap pengurusan air namun nampaknya Persekutuan masih mahu terus memihak kepada syarikat kroni; SYABAS dan Puncak Niaga. Pada Mei 2011, Kerajaan Negeri Selangor telah menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan dan mencadangkan satu model holistrik penstrukturan semula industri air Selangor. Model ini akan menyaksikan Agensi Bertujuan Khas Negeri (State Special Purpose Vehicle) menguruskan industri air ini secara meluas, daripada rawatan sehingga kepada agihan, pengeluaran bil serta khidmat pelanggan dan memajakkan aset air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB); agensi yang ditubuhkan untuk memiliki seluruh aset air negara.

Dengan industri air negara telah distrukturkan melalui pengenalan Akta Industri Perkhidmatan Air (2006), cadangan Kerajaan Negeri Selangor memerlukan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan kuasanya seperti yang terdapat dalam Akta tersebut untuk mengarahkan semua syarikat konsesi menyertai rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk pengambilalihan.

Kerajaan Negeri Selangor juga menawarkan rundingan diletakkan di bawah arbitrasi antarabangsa dan sebarang keputusan yang terhasil akan diterima sebagai keputusan akhir. Namun, Kerajaan Persekutuan tidak mahu berbincang mengenainya. Malah, mesyuarat terakhir antara Kerajaan Persekutuan dan pegawai Kerajaan Negeri pada September 2011 menunjukkan mereka hanya berminat untuk mendesak Projek Pemindahan Air dan tidak mahu berbincang tentang isu penstrukturan industri air yang memberi manfaat kepada semua pengguna di Selangor.

Selain menolak perbincangan ini, Kerajaan Persekutuan turut membiayai Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), sebuah syarikat dalam senarai bursa yang pemegang saham majoritinya ialah SYABAS dan Puncak Niaga. Pembiayaan ini dilakukan melalui subsidiari milikan penuh PAAB yang telah menandatangani persetujuan pada 1 November 2011 untuk membeli bon yang dikeluarkan oleh Puncak Niaga pada nilai nominal RM546,875,000 daripada PAAB. Puncak Niaga Holdings Berhad menggunakan dana yang diterima daripada pembelian semula bon yang dikeluarkan pada tahun 2001.

Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa sebarang perbincangan tentang masa depan Projek Pemindahan Air perlu dibincangkan bersama penstrukturan industri air di Selangor. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pada Oktober 2011 kerajaan Selangor telah melantik syarikat juruperunding HALCROW untuk membuat audit kewangan dan teknikal ke atas SYABAS. Apa yang mahu ditegaskan ialah Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat menerima Projek Pemindahan Air dijalankan bersama industri air yang lemah dan pada kadar yang membebankan rakyat.

Sekiranya cadangan Kerajaan Negeri Selangor diterima, kenaikan tarif sebanyak 71% yang dicadangkan oleh SYABAS boleh dielakkan. Di bawah cadangan Kerajaan Negeri Selangor juga, Agensi Bertujuan Khas Negeri hanya akan melaksanakan peningkatan pada kadar 12% sahaja bagi penjimatan dan mengelakkan pembaziran. Justeri, kenaikan tarif hanya akan berlaku pada kadar minima yang boleh dibiayai bersama.

Untuk makluman Tuan-tuan Yang Berhormat, lebih 1.2 juta isi rumah menerima pemberian air 20 meter padu ini dan jika kita mengambil jumlah isi rumah seramai empat hingga lima orang, bermakna hampir seluruh penduduk di Selangor menerima sumbangan ini.

Sedutan pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2012 yang bertema Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di persidangan Dewan Negeri pada 9 November 2011.

View the original article here

Categories: Politik Tags: , ,