Home > Hiburan > Ruang kami berkarya tersekat

Ruang kami berkarya tersekat

CERITA dalam cerita. Inilah kesimpulan yang dibuat sebaik menyaksikan aksi pertama Teater Juta-Juta Ke Putrajaya yang dipersembahkan di Panggung Eksperimen Mawar Sari, Presint 3, Putrajaya, semalam.


Kepada khalayak yang berjinak-jinak menonton teater berkonsep begini, ia mungkin satu pengalaman baru dan agak asing. Namun, inilah kekuatan teater terbitan MASK Team ini.


Dengan hanya menampilkan tiga pelakon iaitu Aloy Paradoks, Fazleena Hishamuddin dan Anas Ridzuan, teater garapan dan arahan Fasyali Fadzly ini berjaya mencuit hati penonton dengan satira yang menyentuh pelbagai perkara terutama berkaitan sistem.


Apa sistem yang dimaksudkan, penonton yang hadir boleh menafsirkan sendiri menerusi dialog sinis yang dilontarkan. Jelas dengan hanya ruang kecil di depan ruang panggung yang boleh memuatkan sekitar 200 penonton ini, pelbagai permasalahan berkaitan dunia seni teater diutarakan tiga watak mewakili produser, pengarah dan sinematografi yang ingin mementaskan teater di satu Kraton (istana) yang sering menjadi tumpuan ramai dengan persembahan berkonsep popular.



Bermula dengan impian itu, pelbagai isu disentuh terutama tuntutan komersial yang perlu dipenuhi sebagai syarat untuk beraksi di Kraton, nasib pelajar seni yang terpinggir di Kraton, konsep cerita diminati masyarakat, tajaan serta pelbagai lagi yang disampaikan dalam bentuk satira. Namun, dalam ketawa ada pedasnya bagi mereka yang terasa.



Sejam menonton, peminat tidak merasa jemu menunggu bait-bait dialog serta babak seterusnya kerana ia berjalan dengan menyeronokkan.


Satu pengalaman baru juga dilalui kerana ketika beraksi, tiga pelakon ini juga mengalih sendiri set-set pentas mereka yang ringkas. Bahkan mereka jugalah melakonkan 12 watak sampingan di dalamnya. Manakala kostume pula sekitar enam pasang.


Tanpa tuntutan komersial, persembahan pertama ini turut berjaya menarik khalayak penonton untuk hadir menyaksikannya. Malah, mereka akrab dengan audien apabila memberi peluang berinteraksi dalam sesi soal jawab selepas persembahan berakhir. Ternyata banyak pandangan positif dihamburkan terhadap persembahan trio ini.


Fasyali berkata, inspirasi untuk menghasilkan skrip ini diambil dari filem Inception, tetapi bukanlah bulat-bulat. Sebagai pengkarya, dia menampilkan cerita berkonsep lakaran dalam lakaran. Pengalaman yang ada dengan pementasan teater ini di Stor Dewan Bahasa Dan Pustaka banyak membantu persembahan yang berlangsung dari 10 hingga 13 November.


“Alhamdulillah, respon dari penonton sangat bagus. Apabila tulis skrip, niat pertama saya ialah untuk kritik Kraton. Saya lihat ini sebagai satu penyakit sosial. Namun, saya berpendapat, ini semua bukan masalah Kraton kerana saya fikir banyak lagi panggung yang ada untuk berkarya. Jangan pedulikan mengenai sistem kerana ada duit atau tidak, kami buat sajalah.


“Mungkin ini satu langkah untuk kami bergerak ke tahap yang optimis. Kami senang buat cerita yang dekat dengan kami dan persepsinya kami serahkan kepada penonton untuk menilai. Bukan saya jentik sehingga sakit, namun tak menafikan kehadiran teater muzikal banyak menutup peluang pelajar jurusan seni macam kami untuk berkarya di Istana Budaya.


“Tak dinafikan teater muzikal memerlukan kos tinggi. Tapi mengapa tidak Istana Budaya tidak kembali seperti dulu apabila mementaskan Alang Retak Seribu yang kos tak sampai berjuta untuk dihasilkan? Sekarang penerbit lihat teater seperti satu industri. Kami suka berkarya, tapi takkan graduan macam kami hanya jadi ensambel saja?


“Saya mengaku buat juga kerja dengan Istana Budaya, tapi dalam masa sama turut berkarya. Secara peribadi saya sukakan satira. Kalau lihat karya komersialpun, komedi senang jual. Saya bukan jual satira semata-mata, tapi ada mesej di dalamnya. Teater ini boleh dianggap satu eksperimen tapi diimbangi oleh komedi,” katanya yang berkelulusan graduan Pengarahan Teater dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Fazleena, pemegang Sarjana Psikologi dan Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mengakui awalnya agak terbeban dengan ‘kerja sampingan’ yang perlu dilakukan iaitu mengubah set pentas ketika berlakon. Namun, kerjasama berpasukan menyaksikan semua masalah dapat diatasi.


“Bayangkan saya kena hafal dan skrip dan dalam masa sama nak kena ubah set pentas lagi. Tapi kami bertiga kerap berbincang dan saling ingat mengingatkan apa yang perlu dilakukan. Komunikasi sangat penting. Fasyali juga tak sekat idea kami, sekali gus memudahkan kerja kami,” katanya yang menganggap ini cabaran besar perlu dilalui.


Ujar Fasyali, dia bukan sengaja mendera pelakonnya, tapi mahu menampilkan realiti sebenar yang perlu dibuat oleh graduan seni. Mereka tiada alasan untuk menolak dan menyerahkannya pada orang lain.


“Contohnya semua yang terbabit dalam teater ini ialah kawan-kawan kami ketika belajar. Mereka kreatif tapi tiada ruang untuk berkarya dan kalau adapun kerja tak banyak. Kami bukanlah nak tengok kutipan tiket. Cukuplah sekadar untung sikit kerana kami hanya nak berkongsi idea.


Teater Juta-Juta Ke Putrajaya dipentaskan dengan kerjasama Majlis Belia Kawasan Putrajaya untuk mengangkat hasrat


Perdana Menteri yang ingin menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Mesra Belia serta hab seni persembahan terbaru selain Kuala Lumpur. Pas masuk berharga RM20. Untuk persembahan matinee, tiket berharga RM15. Keterangan lanjut layari http://www.facebook.com/teaterjutajuta.


View the original article here

Categories: Hiburan Tags: , ,
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a comment