Home > Hiburan > Semangat Erra tak luntur

Semangat Erra tak luntur

SEKALIPUN berdepan pementasan lewat sehari serta pelakon utama dilanda demam, sesi latihan terakhir teater Badai Semalam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, Khamis lalu tetap berjalan lancar.


Apapun, pementasan teater bermula 11 hingga 20 November itu diangkat dari naskhah novel Khadijah Hashim dan dikendalikan pengarah muda berbakat besar, Khairunazwan Rodzy sudah bersedia memulakan pementasan hari ini.


Teater mencetuskan emosi dan beberapa set latar ‘retro’ 70-an ini, turut membabitkan 11 lagu nyanyian pelakon dan penggunaan kereta ‘sport’ membariskan nama besar memegang watak utama seperti Erra Fazira selaku Mazni, Aaron Aziz (Karim), Fizz Fairuz (Zaki), Datin Paduka Umie Aida (Cik Rohana), Ziela Jalil (Cik Bibah) serta ramai lagi termasuk Emelda Rosmila, Jasmin Hamid dan Iqbal Taufiq.


Sekalipun berada dalam keadaan kurang sihat, Erra Fazira berkata, semangat tetap tinggi menjayakan pementasan selama 10 hari itu. Erra mengalami demam, selesema dan sakit tekak sejak beberapa hari lalu yang belum reda.



“Semangat watak Mazni dijiwai dalam diri menerusi pembacaan novel terbabit dan latihan pementasan dua bulan lalu mendorong saya untuk memberikan persembahan terbaik.



“Saya mahu memastikan Mazni sebagai anak orang gaji (Cik Bibah) memberi kesan terhadap penonton. Paling penting, membuktikan diri kita yang berdepan penghinaan dan tidak berharta mampu berjaya dalam hidup dengan dorongan orang disayangi iaitu ibu,” katanya.


Lakonan teater Erra sebelum ini menerusi teater Selendang Umi dan membawa watak Tun Dr Siti Hasmah dalam teater Tun Mahathir musim pertama.


Umie Aida dengan watak sebagai Rohana berkata, barisan pelakon berpengalaman menjayakan pementasan Badai Semalam satu pemilihan tepat kerana setiap pelakon membawa karakter penuh sabar.


“Walaupun ada hakikat kami bekerjasama dengan pengarah muda, kami tidak berasa kekok kerana ini adalah tanggungjawab kami bersama. Malah, projek ‘baby’ kami yang perlu dilaksanakan pada tahap terbaik.


“Paling penting, kami dapat mengenengahkan karya tulisan novel bernilai diketengahkan dalam bentuk lakonan spontan, tetapi penuh dengan nilai kemanusiaan,” katanya.


Bagi Khairunazwan, dirinya bertuah kerana mendapat barisan pelakon yang sememangnya memiliki sikap profesionalisme yang tinggi.


“Sikap suka bertanya mereka membuat saya sentiasa bersedia dan saya sendiri perlu lebih ke depan daripada mereka mengenai skrip.


“Apapun, saya berpuashati dengan set props dan perjalanan keseluruhan teater Badai Semalam yang mencapai 100 % dan sedia dipentaskan sepenuhnya.


“Boleh dikatakan pementasan naskhah ini mempunyai 80 peratus elemen asal novel dan 20 peratus lagi pengubahsuaian untuk disesuaikan dengan latar dan jalan cerita,” katanya yang berdebar mementaskan arahan pertamanya.


Sebelum ini lulusan Ijazah Teater dalam pengkhususan Pengarahan lebih banyak bertindak sebagai pembantu pengarah kepada Erma Fatima menerusi Natrah selama dua musim dan Sirah Junjungan juga selama dua musim.


Selain itu, Khairunazwan juga adalah pembantu pengarah teater Tun Abdul Razak arahan Datuk Rahim Razali.


Aaron selaku Karim, anak kepada Rohana, mengakui tiada masalah membawa watak lelaki suka berfoya-foya, kaki ‘enjoy’ kelab malam dan kaki perempuan.


“Sesi latihan ini memberi peluang ‘all-out’ dan suka watak seperti ini kerana memberi ruang mengeluarkan luahan apa yang ada dalam diri. Sangat berbeza berbanding lakonan filem saya lalui sebelum ini kerana semuanya hanya sekali dan tidak ada ruang melakukan kesilapan,” katanya yang terkenal dengan watak lasak dalam KL Gangster.


Fizz Fairuz yang terbabit dalam lakonan teater Natrah 2 sebelum ini berkata, pementasan teater ini sangat mencabar kerana rasa takut membuat silap sentiasa ada.


“Saya mencari diri sebagai Zaki yang tidak pernah putus harapan menjadi seorang doktor seperti Mazni,” katanya.


Bagi peminat mahu menyaksikan teater Badai Semalam, tiket dijual pada harga RM30, RM50, RM70, RM90, RM100, RM120, RM150 dan RM300. Pementasan bermula jam 8.30 malam dengan persembahan matinee jam 3 petang pada Sabtu dan Ahad. Tiket boleh dibeli secara online di http://www.ticket2u.biz.


View the original article here

Categories: Hiburan Tags: ,
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a comment